Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MELAKA – Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan bahawa pembangunan kemahiran merupakan antara faktor penting dalam membuka lebih banyak peluang kerjaya dan keusahawanan kepada golongan wanita.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri JELITA Open Day 12 Hours Sprint Training bersama anak-anak muda Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan para peserta program berkenaan di Dewan Canselor UTeM.

Menurut Ahmad Zahid, beliau sentiasa yakin terhadap kemampuan wanita untuk membina kerjaya, mengembangkan perniagaan serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang lain sekiranya mereka dilengkapi kemahiran dan kepakaran yang bersesuaian.

“Skills are the new currency,” katanya, merujuk kepada kepentingan penguasaan kemahiran sebagai aset utama dalam menghadapi cabaran ekonomi dan pasaran pekerjaan masa kini.

Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap pelbagai usaha yang dilaksanakan di Melaka bagi memperkasa golongan wanita, khususnya menerusi program pembangunan usahawan yang telah memberi manfaat kepada ribuan wanita.

Katanya, inisiatif seumpama itu perlu terus diperluaskan bagi membolehkan lebih ramai wanita meningkatkan pendapatan, mengembangkan perniagaan dan membina kehidupan yang lebih baik untuk keluarga masing-masing.

Ahmad Zahid turut menyeru para peserta JELITA supaya tidak membiarkan keraguan diri membataskan cita-cita, sebaliknya berani memulakan langkah dengan menguasai kemahiran, membina keyakinan dan terus berusaha mencapai kejayaan.

Beliau berkata, wanita bukan sahaja berpotensi mengubah kehidupan sendiri, malah mampu membuka ruang dan peluang kepada orang lain untuk turut berjaya.

Beliau yakin wanita Melaka mempunyai kekuatan serta potensi besar untuk terus maju dan menyumbang kepada pembangunan negeri melalui pemerkasaan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) serta bidang keusahawanan.

Program JELITA diharap dapat terus menjadi platform bagi melahirkan lebih ramai wanita berkemahiran, berdaya saing dan berupaya menjana pendapatan demi kesejahteraan keluarga serta pembangunan ekonomi negara. -Media Perpaduan

#JELITA #TVETMalaysia #JomPilihTVET #TVETPilihanUtamaKerjaya