Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Harga tiket Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah berasaskan struktur tambang dinamik yang mengambil kira waktu perjalanan, tempoh pembelian dan pilihan kelas tempat duduk.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata penetapan tambang turut mengambil kira perbandingan dengan mod pengangkutan lain, diskaun konsesi dan promosi berkala.

Beliau berkata, ia bertujuan memastikan keseimbangan antara kemampuan pengguna dan kemampanan operasi ECRL.

“Sebarang pakej tambang atau pas perjalanan sedang dalam pertimbangan dan akan diperkenalkan dari semasa ke semasa,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat hari ini. 

Menjawab ketersambungan jaringan pengangkutan awam dan akses yang mudah kepada rakyat setempat, Anthony berkata setiap stesen ECRL dilengkapi jalan masuk utama dan fasiliti turun naik penumpang.

“Ia bagi membolehkan pengangkutan awam lain beroperasi dengan lebih lancar.

“Pihak ECRL juga mengadakan perbincangan bersama pengusaha bas bagi memastikan ketersediaan perkhidmatan berkenaan demi memenuhi keperluan penumpang pada masa akan datang,” katanya.

Tambang perkhidmatan penumpang ECRL bagi perjalanan Gombak-Kota Bharu bermula RM125 sehala untuk kelas Ekonomi menerusi perkhidmatan Transit menjelang operasi komersial yang disasarkan bermula 12 Disember depan.

Penjualan tiket rasmi ECRL dijadualkan bermula pertengahan November ini, manakala operasi komersial penumpang bagi laluan Gombak-Kota Bharu disasarkan bermula pertengahan Disember.

Pada peringkat permulaan, sebanyak 10 set tren Electric Multiple Unit (EMU) akan digunakan dengan kelajuan operasi sehingga 160 kilometer sejam bagi menghubungkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

ECRL akan menyediakan 12 perjalanan sehari dari Isnin hingga Khamis merangkumi enam perjalanan bagi setiap arah, manakala kekerapan meningkat kepada 16 perjalanan sehari dari Jumaat hingga Ahad, bersamaan lapan perjalanan bagi setiap arah.

Secara keseluruhan, kira-kira 2.2 juta tempat duduk dirancang untuk disediakan sepanjang 2027.

Selain itu, untuk kadar tambang ke destinasi lain ia akan diumumkan dalam laman web ECRL pada pertengahan November ini. -BH Online