Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Bilangan syarikat yang memegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) di negara ini belum memuaskan dengan hanya membabitkan sebilangan kecil daripada lebih 400,000 syarikat berdaftar.

​Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, meskipun pencapaian permohonan sijil halal ketika ini menunjukkan peningkatan mendadak, jumlah keseluruhan pemegang sijil aktif belum mencapai tahap optimum disasarkan.

Justeru, katanya pemain industri tempatan digesa tidak berada dalam zon selesa dan perlu berani mentransformasi perniagaan masing-masing.

“Kita perlu melihat industri halal berkembang daripada sekadar persijilan kepada pengkomersialan, daripada kesediaan memasuki pasaran kepada keupayaan mengeksport, serta daripada pemain tempatan kepada peneraju industri halal di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Kebangsaan Eksekutif Halal (PEH26) 2026 anjuran Kolej Universiti Unity dan Unity Halal Centre di sini, hari ini.

​Mengulas peranan modal insan dalam mengukuhkan ekosistem ini, beliau menegaskan Eksekutif Halal perlu diiktiraf sebagai tenaga profesional dan bukannya sekadar pengurus dokumentasi. 

Peranan mereka, katanya amat kritikal untuk menterjemahkan prinsip Halalan Toyyiban secara menyeluruh merangkumi pengurusan, proses pengeluaran, rantaian bekalan, hingga ke peringkat penyampaian perkhidmatan.

​Bagi menyokong pemerkasaan ini, Kerajaan Persekutuan terus menunjukkan komitmen tinggi menerusi peningkatan peruntukan hal ehwal agama secara konsisten.

Menerusi Belanjawan 2027, jumlah peruntukan melonjak melebihi 50 peratus kepada RM3.1 bilion berbanding RM1.5 bilion pada 2023.

​Sokongan kewangan turut disalurkan secara langsung kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menerusi Geran Padanan RM5,000 bagi kos persijilan halal, serta Geran Khas RM25,000 bagi sektor strategik seperti kosmetik dan farmaseutikal. 

Selain itu, platform digital Sistem Baiki Halal Bersepadu (Sistemas) juga dinaik taraf dan 100 Juruaudit Halal baharu ditambah bagi melancarkan proses perkhidmatan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Zulkifli mengingatkan, walaupun Malaysia kini memegang reputasi sebagai ‘gold standard’ halal dunia dengan mengiktiraf lebih 100 badan persijilan dari 50 negara, kelebihan ini perlu dimanfaatkan secara tangkas sebelum diatasi oleh pesaing global yang mempunyai saiz pasaran lebih besar. -BH Online