KULAI: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sudah mengeluarkan 275,785 MyKad generasi baharu di seluruh negara sejak ia dilancarkan pada 17 September lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Johor mencatatkan jumlah pengeluaran tertinggi setakat 20 Oktober lalu, iaitu 31,392, diikuti Kuala Lumpur (29,601), Selangor (26,736), Sarawak (25,642) dan Sabah (22,523).
“Jumlah pengeluaran itu menunjukkan sambutan baik daripada masyarakat terhadap penggunaan MyKad generasi baharu dilengkapi ciri keselamatan lebih canggih,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Pendaftaran Negara ke-78 dan peluncuran Kampung Angkat MADANI (KAM) dan Sekolah Angkat Madani (SAM) JPN 2026 di Dewan Serbaguna Kampung Melayu Sedenak, di sini, hari ini.
Saifuddin berkata, MyKad generasi baharu mempunyai 53 ciri keselamatan berbanding 23 pada kad terdahulu, termasuk tingkap lutsinar kod QR, ciri ultraungu, hologram dan mikroteks.
Katanya, JPN mengambil langkah mengemas kini ciri keselamatan kad pengenalan selepas MyKad generasi terdahulu digunakan kira-kira 12 tahun sekali gus menamakannya MyKad generasi baharu.
“Orang ramai tidak perlu tergesa-gesa menukar MyKad masing-masing kerana JPN memberi jaminan bekalan kad mencukupi untuk memenuhi permintaan,” katanya.
Saifuddin berkata, ketika ini kira-kira 24 juta MyKad berada dalam edaran, manakala JPN menerima purata 200,000 permohonan sebulan bagi pelbagai urusan.
“Permohonan itu merangkumi pengeluaran kad pengenalan baharu, penggantian kad rosak serta permohonan MyKad bagi individu yang mencapai umur 18 tahun. Jumlah permohonan itu konsisten, iaitu kira-kira 200,000 sebulan atau 2.4 juta setahun
“Kita tidak mempunyai unjuran khusus bagi tempoh pertukaran kepada MyKad generasi baharu. Kita akan meneruskan proses seperti biasa dan memastikan bekalan kad mencukupi untuk memenuhi permintaan orang ramai,” katanya.
Saifuddin berkata, pemilikan MyKad juga penting berikutan pelbagai inisiatif kerajaan memerlukan penggunaannya, termasuk pembelian bahan api, minyak masak dan penebusan Sumbangan Asas Rahmah (SARA). -BH Online

