Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MANJUNG: Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) perlu terus diperkasakan bagi memastikan warisan seni dan budaya terpelihara, sekali gus memperkukuh jati diri bangsa dalam mendepani perubahan zaman.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata puisi dan lagu rakyat berperanan penting dalam mengekalkan identiti berkenaan kerana kedua-duanya mencerminkan pemikiran, perasaan dan nilai kehidupan sesebuah masyarakat.

Katanya, kemajuan sesebuah negara bukan sahaja bergantung pada pencapaian ekonomi dan teknologi, malah turut ditentukan oleh kekuatan identiti, nilai kemanusiaan dan warisan budaya masyarakatnya.null

“Tanpa penghayatan terhadap budaya dan warisan sendiri, masyarakat berisiko kehilangan jati diri meskipun mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang.

“Jika negara itu tidak mempunyai identiti, ciri, budaya dan warisannya, negara itu akan dianggap sebagai sebuah negara yang tandus dari segi budaya,” katanya ketika merasmikan pembukaan PULARA 2026 di Dataran MADANI Seri Manjung, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyempurnakan pelantikan empat Ketua Kampung PULARA 2026 bagi menghidupkan tradisi kepimpinan masyarakat kampung sebagai lambang penyatuan, pemeliharaan adat dan kesinambungan warisan budaya.

Majlis turut menyaksikan pelancaran Program Bakti MADANI Mega Titian Budaya yang membabitkan penempatan peserta antarabangsa dengan keluarga angkat di Kampung Baru Lumut dan Kampung Telaga Nenas, di daerah Manjung.

Zambry turut mengingatkan generasi muda supaya tidak melupakan akar budaya sendiri ketika berhadapan dengan perkembangan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI), yang semakin mempengaruhi kehidupan masyarakat.

Beliau berharap PULARA dapat diperluas ke luar Manjung, termasuk Kuala Lumpur dan pentas antarabangsa, bagi memperkenalkan keunikan seni dan budaya Malaysia kepada masyarakat dunia.

“Pendekatan membawa peserta festival ke kampung untuk berinteraksi secara langsung dengan masyarakat setempat dapat memberikan pengalaman bermakna, selain menggalakkan persefahaman antara peserta tempatan dengan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata lebih 20,000 pengunjung dijangka menghadiri PULARA 2026, yang turut membabitkan lebih 2,000 pelajar daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta, selain lebih 100 pelajar antarabangsa dari 25 negara.

Katanya, edisi ke-12 festival itu turut menampilkan 20 program PULARA Masuk Kampung dikendalikan Majlis Kesukarelawanan Universiti Awam (MASKUM) bagi membawa aktiviti seni, budaya dan kemasyarakatan lebih dekat kepada penduduk setempat.

“Sebanyak 17 program utama turut dirancang, merangkumi aktiviti seni dan budaya, kemasyarakatan serta pemindahan ilmu bagi memastikan masyarakat setempat turut mendapat manfaat daripada penganjuran festival berkenaan,” katanya. -BH Online