Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mendedahkan hasil kajian berkaitan kes buli yang dijalankan menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) seawal minggu ini atau minggu hadapan.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata kajian itu merupakan antara lebih 80 kajian yang dilaksanakan dengan kerjasama pihak universiti bagi mengenal pasti pendekatan bersesuaian untuk menangani isu berkenaan, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah.

Beliau berkata kementerian memandang serius isu buli dan tidak mahu perbuatan itu menjadi kebiasaan sehingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan mangsa.

“Kita amat risau mengenai kes buli ini. Kita tidak mahu perbuatan ini menjadi satu kebiasaan di sekolah sehingga menakutkan mereka yang dibuli. Jadi, kita mahu mencari jalan untuk membantu,” katanya ketika ditemui selepas rakaman program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, di Wisma Bernama hari ini.

Sehubungan dengan itu, Nancy berkata kementerian turut mempergiat usaha advokasi di sekolah dengan kerjasama pelbagai pihak, termasuk polis dan pakar berkaitan bagi meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan kanak-kanak serta langkah mendapatkan bantuan apabila berdepan situasi berisiko.

Beliau berkata ibu bapa memainkan peranan penting dalam memberikan keyakinan kepada anak-anak untuk melaporkan kejadian buli, manakala pihak sekolah perlu memperkukuh usaha advokasi bagi memastikan murid mengetahui individu yang boleh dipercayai untuk mendapatkan bantuan.

“Modul advokasi sedia ada juga akan ditambah baik dengan memberi penekanan lebih kepada perbuatan buli, selain aspek keselamatan diri, sentuhan selamat dan tidak selamat serta kesedaran mengenai penderaan seksual,” katanya.

Nancy berkata kementerian sebelum ini menyasarkan pelaksanaan program advokasi di 300 sekolah, namun sasaran itu belum dapat dicapai dan usaha berkenaan akan diteruskan dengan penambahbaikan modul berkaitan.– BERNAMA