KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak hari ini mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan gaji kepada penjawat awam negeri serta RM700 untuk penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata BKK dua bulan gaji itu berdasarkan gaji pokok terakhir bulan November 2026, dengan pembayaran dijadualkan sebelum hujung tahun ini.
“Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada 19,851 penjawat awam Sarawak dengan anggaran perbelanjaan RM144 juta,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan Negeri 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Bagi penjawat awam Persekutuan di Sarawak pula, beliau mengumumkan RM700 secara sekali beri.
“Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada 132,347 anggota perkhidmatan awam Persekutuan dengan anggaran perbelanjaan RM93 juta dan akan dibayar pada suku pertama 2027.
“Buat pesara perkhidmatan awam Negeri Sarawak, kami beri bantuan kewangan secara sekali beri sebanyak RM500 seorang kepada lebih kurang 10,141 penerima dengan anggaran perbelanjaan RM5.1 juta,” katanya.
Selain itu, Abang Johari turut mengumumkan insentif RM700 seorang kepada pengamal media swasta berdaftar dengan enam persatuan media di Sarawak.– BERNAMA
