Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,868 tangkapan dibuat berhubung kes pemalsuan dan salah guna kad pengenalan di seluruh negara antara 2022 hingga September lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata tangkapan itu dibuat melalui 4,147 operasi penguatkuasaan sepanjang tempoh berkenaan.

Selain itu, beliau berkata, 577 kes sudah dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai kesalahan berkaitan dokumen pengenalan diri.

Jumlah itu merangkumi 128 kes pendakwaan khusus bagi kesalahan menggunakan kad pengenalan milik orang lain, manakala 449 lagi kes pemalsuan kad pengenalan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) mengenai tindakan audit keselamatan bebas kerajaan bagi mengekang penyelewengan dan salah guna kad pengenalan.

Menjelaskan lanjut, Shamsul Anuar berkata, statistik dan tindakan tegas itu membuktikan komitmen berterusan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memelihara integriti dokumen pengenalan diri rakyat Malaysia.

“Langkah ini juga penting bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara daripada sebarang bentuk manipulasi pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) pula, Shamsul Anuar berkata, MyKad Generasi Baharu menggunakan cip dengan tahap enkripsi dipertingkatkan serta Cip Antara Muka Dwifungsi bagi menyokong pengesahan identiti yang lebih kukuh dan selamat. -BH ONLIVE