Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Tabung Haji (TH) sudah melaksanakan 76 peratus syor Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasinya. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hassan, berkata TH kini sedang giat memuktamadkan baki empat syor membabitkan perkara berkaitan pindaan Akta Tabung Haji 1995.

Ia termasuk peraturan berkaitan seperti tatatertib dan lain-lain serta skop kawal selia Bank Negara (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti yang akan disertakan bersama pindaan berkenaan. 

“TH sedang giat melaksanakan usaha bagi memperkukuhkan Akta Tabung Haji 1995 melalui pemindaan akta berkenaan selaras dengan syor RCI.

“Pindaan akta dijangka meningkatkan lagi tahap tadbir urus, termasuk pengurusan institusi yang lebih baik demi melindungi kepentingan pendeposit,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal Dewan Rakyat, hari ini. 

Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) yang meminta menyatakan status pelaksanaan syor RCI Tabung Haji pada 2026 termasuk pindaan Akta 535 serta langkah memperkukuh pelaburan apabila aset RM98.58 bilion berbanding liabiliti RM95.63 bilion pada akhir 2025. 

Bagi memperkukuhkan pelaburan, katanya, TH melaksanakan strategi pelaburan secara berhemat, patuh syariah dan berpandukan kerangka Alokasi Aset Strategik (SAA). 

“Kerangka SAA akan memastikan portfolio pelaburan TH mempunyai tahap kepelbagaian yang bersesuaian antara kelas aset, sektor dan pasaran bagi mengimbangi keperluan menjana pulangan yang mampan dengan tahap risiko yang bersesuaian.

“SAA disemak setiap tiga tahun mengikut nilai ambang dan had selera risiko yang bersesuaian,” katanya. 

Beliau berkata, dalam aspek pengurusan risiko pula, TH sentiasa mengutamakan pendekatan pelaburan yang berhemat dengan mengambil kira kepentingan dan perlindungan modal pendeposit. 

Katanya, ia termasuk memastikan kedudukan aset dan liabiliti serta kecairan diurus dengan baik, manakala setiap pelaburan dinilai berdasarkan profil risiko, prospek pulangan dan keadaan pasaran semasa. 

“Pendekatan ini menyumbang kepada pengukuhan kedudukan kewangan TH. Bagi tahun kewangan 2025, jumlah pendapatan pelaburan meningkat kepada RM4.64 bilion, paras tertinggi yang pernah direkodkan. 

“Kedudukan kewangan TH juga kekal kukuh dengan jumlah aset RM98.58 bilion berbanding liabiliti RM95.63 bilion,” katanya. -BH Online