KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang berbincang dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk mencari langkah berkesan menangani isu lambakan sayur import yang menjejaskan pengusaha tempatan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata perbincangan itu turut mengambil kira pelaksanaan syarat mengemukakan Sijil Analisis (CoA) yang diwajibkan mulai 1 Jun lalu, walaupun terdapat pandangan bahawa langkah berkenaan belum mencukupi.
“Kita sudah membawa perkara ini kepada perbincangan pada peringkat pihak sekuriti makanan, dan kita sedang menganalisis apa perkara baharu perlu kita perkenalkan, supaya penanam sayur di Malaysia dan yang terbabit dalam buah-buahan terpelihara kedudukan mereka,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Wong Shu Qi (PH-Kluang) mengenai keperluan pensijilan amalan pertanian baik yang setara Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) bagi sayur-sayuran dan buah-buahan import, serta langkah melindungi petani tempatan daripada persaingan produk import yang tidak tertakluk kepada piawaian sama.
Mohamad berkata, sayur dan buah diimport ke Malaysia ketika ini tidak diwajibkan mempunyai pensijilan amalan pertanian baik setara myGAP di negara asal, namun tetap tertakluk kepada syarat import termasuk permit import, sijil fitosanitari daripada negara pengeksport, serta pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
Beliau berkata, antara komoditi berdepan isu lambakan ialah cili, kubis, kubis bulat, sawi, tomato dan timun, sehingga menimbulkan rungutan dalam kalangan penanam tempatan termasuk di Cameron Highlands dan Johor.
Menjawab soalan asal Shu Qi mengenai prestasi pensijilan myGAP sejak pengenalan e-myGAP pada 2020, Mohamad berkata, sistem itu diperkenal bagi memendekkan tempoh pensijilan daripada dua tahun kepada 90 hari bekerja, tanpa menjejaskan pematuhan Piawaian Malaysia (MS).
Bagaimanapun, katanya, tempoh itu bergantung pada tahap kesediaan ladang dan pematuhan pemohon kepada semua keperluan pensijilan yang ditetapkan.
Berdasarkan rekod, beliau berkata, jumlah permohonan meningkat daripada 2,507 pada 2021 kepada 3,652 tahun lalu, manakala sebanyak 3,282 permohonan direkodkan bagi 2026 setakat tempoh pelaporan.
Daripada jumlah itu, katanya, permohonan yang berjaya dipersijilkan dalam tempoh kurang 90 hari bekerja ialah 324 pada 2021, 2022 (163), 2023 (183), 2024 (373), 2025 (249) dan 2026 (206).
Namun, beliau berkata, sebahagian besar permohonan masih mengambil masa melebihi 90 hari bekerja, membabitkan 2,097 permohonan pada 2021, 2022 (1,895), 2023 (3,277), 2024 (2,967) dan 2025 (3,106), antaranya disebabkan keperluan melaksanakan tindakan pembetulan terhadap ketidakpatuhan yang dikenal pasti.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mengenai keutamaan pasaran bagi produk bersijil myGAP dan bimbingan kepada pekebun kecil pula, Mohamad berkata, Jabatan Pertanian akan membantu pengusaha ladang mendapatkan pensijilan selepas permohonan dikemukakan.
Beliau berkata, kementerian turut meminta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) campur tangan dalam pemasaran hasil pertanian apabila berlaku lambakan yang menyebabkan harga jualan jatuh di bawah kos pengeluaran.-BH Online
