MENJELANG hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai esok, Datuk Amizar Abu Adam mengingatkan para pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) agar mengenang jasa pihak yang bertanggungjawab membangunkan Felda selama ini.
Menurut calon Barisan Nasional (BN) itu, sejarah tidak pernah menipu bahawa BN bersama-sama keringat generasi Felda terdahulu telah berhempas pulas membangunkan Felda sekali gus melahirkan ramai anak Felda yang berjaya ketika ini.
Amizar yakin generasi Felda yang berjaya dan bekerja di perantauan tidak akan melupakan pihak yang banyak berjasa terhadap Felda sekali gus akan sekali lagi memastikan DUN Pelangai menjadi milik BN pada PRK ini.
“Insyallah kemenangan akan berpihak kepada BN, dan kita memohon kepada pengundi-pengundi jangan terkhilaf lagi.
“Kita pastikan, terutamanya kepada anak-anak Felda kita ni yang pulang dari perantauan pastikan jangan mengikut hati dan juga nafsu.
“Kepada anak muda dan warga Felda kena jelas bahawa siapakah yang berjuang pada hari ini untuk pembangunan Felda.
“Ingat sejarah dan ingat keluarga kita, ingat mak ayah kita dan ingat rakan rakan kita di kampung ini,” katanya ketika ditemui hari ini.
Pada hari terakhir kempen hari ini, Amizar sekali lagi menegaskan, tiada pertukaran Kerajaan Negeri Pahang akan berlaku dan itu hanyalah propaganda kempen Perikatan Nasional (PN) yang ketandusan modal politik.
“Apa yang saya inginkan iaitu saya akan teruskan lagi legasi Allahyarham Datuk Seri Johari dan kita bersama dengan kerajaan negeri Pahang dan Kerajaaj Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Ini yang saya nak nyatakan tiada yang digembar gemburkan, tiada kerajaan akan bertukar memang tidak ada.
“Konsep BN kita tak amalkan fitnah kita hanya menjalankan kerja iaitu prestasi. Kita mengamalkan prestasi bukan mengamalkan persepsi,” katanya.
PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Datuk Amizar Abu Adam (BN), Kasim Samat (Perikatan Nasional) dan Haslihelmy DM Zulhasli (Bebas).
Kerusi DUN Pelangai, diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat dalam nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina, Shah Alam, 17 Ogos lalu.
“Insyallah, berilah mandat kepada saya untuk saya menjaga Felda dan juga menjaga DUN Pelangai ini. Beri amanah kepada saya, Insyallah saya akan laksanakan tugas dengan baik, berilah kepercayaan kepada saya,” katanya. -Media Perpaduan