Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pelancaran skim Pelan MediAsas pada Januari 2027 bakal menyediakan jaringan keselamatan kewangan dan kesihatan kepada golongan pertengahan (M40) di Malaysia yang dihimpit inflasi perubatan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pelan berkenaan bakal memberi pelindungan kepada golongan M40 dengan kawalan kos yang telus tanpa caj tersembunyi mahupun melampau.

“Ketika ini sejumlah 340,000 polisi insurans swasta dilepaskan (surrender) oleh pemegang polisi akibat tidak mampu membayar premium swasta, dan rakyat membanjiri fasiliti kerajaan, justeru kementerian tampil dengan jaringan keselamatan kewangan ini.

“Tiada rakyat yang patut jatuh miskin hanya kerana mahu berubat, justeru perlindungan kewangan kesihatan MADANI ini tampil dengan menawarkan skim perlindungan asas mampu milik,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dr Dzulkefly berkata projek rintis Pelan MediAsas yang sedang menjalani projek rintis di Lembah Klang sejak akhir Julai, turut membenarkan pemegang polisi untuk melakukan pembayaran secara fleksibel menggunakan Akaun Sejahtera (Akaun Dua) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bagi meringankan beban bulanan mereka.

Menurut beliau, untuk kumpulan rentan pula, Tabung Bantuan Perubatan dinaikkan sebanyak 50 peratus kepada RM60 juta berbanding RM40 juta sebelum ini, khusus untuk membiayai keperluan alat perubatan berharga tinggi seperti implan tulang dan stent jantung.

Sejumlah RM80 juta disediakan untuk program Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40), katanya.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan MediAsas yang menyediakan perlindungan untuk individu sehingga 85 tahun, akan ditawarkan sebagai pelan perlindungan insurans perubatan dan takaful berasingan merangkumi dua pilihan produk iaitu MediAsas Teras (pelan standard) dan MediAsas Fleksi (pelan standard-plus).– BERNAMA