Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Semua institusi pendidikan di bawah pentadbiran Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPN Selangor) beroperasi seperti biasa pada 19 Oktober, Isnin.  

Walaubagaimanapun, jabatan itu menegaskan semua aktiviti luar bilik darjah hendaklah ditangguhkan.

Dalam kenyataan pada Ahad, JPN Selangor menggariskan, murid yang hadir ke sekolah digalakkan memakai pelitup muka.

“Ibu bapa atau penjaga yang bimbang tentang kesihatan anak-anak dibenarkan untuk tidak menghantar anak ke sekolah dengan syarat memaklumkan perkara tersebut kepada pihak sekolah.

“Pihak pentadbir sekolah hendaklah sentiasa memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) daripada Jabatan Alam Sekitar serta memberikan perhatian khusus kepada murid yang berisiko tinggi,” kata kenyataan itu.

Setakat 3 petang, Sistem Pengurusan IPU (APIMS) menunjukkan tahap bacaan tidak sihat di Johan Setia (159), Shah Alam (157), Klang (155), Petaling (154), Banting (153).

Manakala bacaan IPU sederhana hanya direkodkan di Kuala Selangor (75). -Astro Awani