Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

CADANGAN untuk mengambil tindakan lebih ketat termasuk memotong elaun Ahli Parlimen jika mereka terus tidak hadir sidang dewan mendapat perhatian dan sedang diperhalusi.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata, beliau sedang melihat dengan serius langkah perlu dilaksana dan lebih ketat bagi meningkatkan kehadiran Ahli Parlimen kerana mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap pengundi dan kawasan parlimen yang diwakili.

Jelasnya, ada cadangan termasuk daripada bekas Speaker Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof yang mahu Peraturan Mesyuarat Parlimen dipinda untuk memudah cara pelaksanaan tindakan sedemikian.

“Saya rasa ia adalah agak wajar kerana pada masa sekarang kami tidak ada peraturan itu, bermakna Ahli Parlimen tidak ada kekangan melakukannya.

“Selepas hadir buat seketika, mereka ‘blah’, ini tidak adil,” katanya katanya pada mesyuarat Kelab Concorde di ibu negara, hari ini.

Johari juga sedia untuk meningkatkan ketelusan dengan memuat naik rekod kedatangan Ahli Parlimen dalam laman sesawang Parlimen.

Menurutnya, beliau perlu melihat aspek perundangan sama ada boleh atau tidak untuk melaksanakan langkah itu.

“Tetapi bagi saya secara peribadi sudah tentu ia wajar tetapi sekali lagi seperti saya katakan saya perlu melihat kepada mekanisme dan undang-undang termasuk Peraturan Mesyuarat, sama ada ia dibenarkan atau tidak,” katanya. -Media Perpaduan