MACHANG: Depot imigresen negara kini menghadapi tekanan kapasiti susulan operasi penguatkuasaan terhadap pendatang tanpa izin yang dilaksanakan setiap hari, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, kapasiti keseluruhan depot imigresen ialah kira-kira 20,000 orang, namun kemasukan individu ditahan menerusi operasi berterusan menyebabkan kemudahan terbabit berdepan kesesakan.
“Hasil operasi berterusan itu, Jabatan Imigresen telah membangunkan pemetaan kawasan tumpuan warga asing berdasarkan pengumpulan dan analisis data bagi mengenal pasti lokasi mereka tinggal, menginap atau berkumpul.
“Individu ditahan terdiri daripada mereka yang tidak memiliki dokumen perjalanan, menggunakan pas tamat tempoh, menyalahgunakan pas yang dikeluarkan, atau individu berstatus pelarian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Kementerian Dalam Negeri (KDN) 2026, di sini, hari ini.
Saifuddin Nasution berkata, tindakan terhadap setiap kategori perlu mengambil kira status dan kedudukan undang-undang masing-masing, dengan operasi turut membabitkan agensi penguatkuasaan lain serta pihak berkuasa tempatan.
Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu dikenal pasti sebagai empat negeri yang mencatat kadar pembabitan dalam kes dadah melebihi ambang nasional berdasarkan kadar bagi setiap 100,000 penduduk.
Katanya, penilaian itu dibuat berdasarkan data daripada empat sumber dengan menggunakan kaedah pengiraan yang merujuk kepada piawaian antarabangsa.
“Daerah Pendang di Kedah mencatat kadar tertinggi di negara ini, diikuti Kuala Krai. Turut dikenal pasti ialah Tumpat, Tanah Merah dan Bachok di Kelantan, serta Besut di Terengganu, yang mencatat kadar melebihi 1,000 bagi setiap 100,000 penduduk,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata, data berkenaan akan digunakan untuk mengenal pasti kawasan yang memerlukan pendekatan pencegahan dan penguatkuasaan lebih bersasar.
Beliau berkata, kerjasama antara KDN, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), polis dan kerajaan negeri penting bagi mempergiatkan program kesedaran serta pencegahan di kawasan terbabit. -BH Online

