GEORGETOWN: Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang merangka pindaan undang-undang bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap pencuri kabel landasan kereta api.
Antara lain, ia merangkumi tempoh pemenjaraan lebih lama dan kadar denda yang lebih tinggi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memperketat undang-undang sedia ada memandangkan kes kecurian kabel terus mengancam operasi perkhidmatan kereta api serta keselamatan awam.
“Kita dalam proses merangka pindaan undang-undang ini dan sedang bekerjasama dengan KDN untuk memperketatkan hukuman,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran bas elektrik pertama Pulau Pinang di sini, hari ini.
Loke berkata, perincian cadangan pindaan berkenaan belum dimuktamad kerana perbincangan masih di peringkat dasar.
“Kita giat berbincang untuk meningkatkan tempoh hukuman penjara dan jumlah denda,” katanya.
Loke berkata, isu kecurian kabel adalah masalah serius yang menjejaskan pelbagai pengendali perkhidmatan kereta api, termasuk Transit Aliran Massa (MRT), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal beroperasi.
Tegasnya, kecurian kabel bukan kes jenayah biasa kerana kabel yang rosak atau hilang boleh menjejaskan operasi kereta api.
Katanya, ia juga membahayakan nyawa penumpang dan orang awam.
“Setiap insiden akan mengganggu perkhidmatan kereta api, manakala kesannya bukan hanya menyebabkan kelewatan operasi tetapi juga menjejaskan keselamatan pengguna serta kebolehpercayaan rangkaian rel negara.
“Hukuman lebih berat disifatkan perlu bagi memberi peringatan tegas kepada bakal pesalah, di samping mendesak syarikat pengendali memperkasakan langkah pencegahan,” katanya.
Loke berkata, antara langkah pencegahan disarankan termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik dan penambahan keanggotaan polis bantuan bagi membendung pencerobohan di kawasan larangan.
Katanya, penguatkuasaan dan tindakan pencegahan mesti bergerak seiring bagi melindungi infrastruktur kereta api daripada terus menjadi sasaran kecurian dan gangguan perkhidmatan.
Kes kecurian kabel dilapor terus menyasarkan infrastruktur pengangkutan awam, dengan insiden terbaharu membabitkan Laluan MRT Kajang dan Lebuhraya Lembah Klang Utara (NKVE) yang menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan.
Dalam kejadian terbaharu semalam, penjenayah dipercayai memotong kabel sepanjang kira-kira 100 meter antara stesen Phileo Damansara dan Pusat Bandar Damansara.
Bagaimanapun, suspek melarikan diri dan meninggalkan kabel yang dipercayai sudah digulung untuk diambil selepas menyedari kehadiran polis bantuan dan penyedia perkhidmatan, Prasarana Malaysia Berhad. -BH Online
