Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran akan menggantikan serta-merta mana-mana kontraktor Projek Residensi Siswa Universiti Malaya (UM) yang gagal mematuhi piawaian kerja.

Tegas Perdana Menteri, pihak kontraktor wajib memberi jaminan untuk melaksanakan tugasan dengan pantas serta mencapai standard terbaik.

Katanya, beliau sendiri akan memantau projek berkenaan secara dekat bagi memastikan projek itu siap lebih awal daripada yang dijadualkan, iaitu pada 2030 bagi fasa satu, selain akan mengarahkan kementerian dan pihak berkaitan, termasuk Kementerian Kewangan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk melakukan perkara sama dalam mesyuarat Kabinet esok.

“Walaupun ini satu projek Residensi Siswa, saya lihatnya daripada konteks yang lebih luas, perancangan, falsafah dan konsepnya serta pastikan ia disiapkan dengan baik.

“Apa yang kita bimbang, jika ada yang masuk untuk mencuri dan mengambil komisen tapi jika kita kawalini semua, kita boleh lakukan dengan skala yang sangat pantas,” katanya ketika berucap melancarkan projek berkenaan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri, berkata beliau ‘lemas’ dengan masalah projek terbengkalai, terutama dalam pembangunan fasiliti kerajaan, yang akhirnya meningkatkan kos pembinaan.

“Bila terbengkalai, minta ‘variation order’, tambah lagi kos. Ini pengalaman yang harus mengajar kita.

“Universiti harus memahami semua permasalahan ini dan melihat ini patut mewakili kenyataan yang sebenar di luar. Banyaknya dana negara itu lebur, bocor kerana pengurusannya lemah,” katanya.

Pada masa sama, beliau mahu Residensi Siswa UM dibina dengan elemen manusiawi, sejajar konsep Malaysia MADANI dengan reka bentuk bangunan yang indah dan berseni, mempunyai sentuhan budaya, persekitaran yang baik serta kemudahan mencukupi.

“Ini contoh terbaik yang harus UM sediakan kerana selepas ini, ada projek yang sama di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), fasa kedua yang akan kita segerakan nanti.

“Kita mulakan di sini. Jadi, kita mahu isu tanah selesai, perancangan dan reka bentuk mesti memenuhi skop yang baharu, bukan hutan batu tapi ada nilai manusiawinya,” katanya.

UM akan bekerjasama dengan konsortium syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi pembangunan Residensi Siswa UM. 

Fasa pertama akan dilaksanakan oleh PBLT Sdn Bhd, manakala pembangunan fasa kedua akan melibatkan kerjasama dengan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan Sime Darby Property Berhad. -BH Online