KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menambah 1,793 peralatan bantuan pernafasan bagi memperkukuhkan kesiapsiagaan fasiliti kesihatan menghadapi peningkatan masalah kesihatan susulan jerebu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata penambahan itu merangkumi 841 alat bantuan pernafasan jenis aerochamber untuk dewasa, 396 untuk kanak-kanak dan 556 mesin nebulizer.
“Khusus bagi memastikan kesiapsiagaan sistem kesihatan, KKM turut memperkukuhkan keupayaan fasiliti kesihatan melalui penyediaan ubat-ubatan dan peralatan perubatan yang diperlukan untuk merawat penyakit berkaitan jerebu.
“Selain itu, kita bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) atas perkongsian maklumat berkaitan kualiti udara, bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dan keadaan jerebu bagi menyokong penilaian risiko serta tindakan kesihatan awam.
“Kerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga dilaksanakan untuk menangani krisis berkaitan,” katanya dalam sesi jawapan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) berhubung langkah KKM menangani kesan jerebu terhadap kesihatan orang ramai.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Dzulkefly berkata, KKM turut mempertingkatkan pemantauan penyakit berkaitan jerebu melalui 78 fasiliti kesihatan sentinel di seluruh negara, dengan memberi tumpuan kepada jangkitan saluran pernafasan atas (URTI), asma dan konjunktivitis.
Pemantauan turut dipertingkatkan mulai minggu epidemiologi ke-32 dari 9 hingga 15 Ogos lalu, susulan peningkatan bacaan IPU dan kemerosotan kualiti udara.
Katanya, Bilik Gerakan Operasi Jerebu Kebangsaan juga diaktifkan pada 4 September lalu bagi menyelaras pemantauan dan tindakan berkaitan kesan jerebu terhadap kesihatan.-BH Online
