BANGI: Kerajaan akan terus memantau perkembangan berhubung penahanan lelaki beragama Islam yang didakwa terbabit melakukan ritual agama lain sehingga tular di media sosial.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata pemantauan itu dilaksanakan dengan kerjasama jabatan agama berkaitan.
Katanya, bagaimanapun pihaknya menghormati bidang kuasa jabatan agama negeri masing-masing.null
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Seminar Penerbitan Islam Tahun 2026 dan Pelancaran Majlis Penerbitan Buku Agama (MAPBA), di Dewan Datuk Mohd Shahir, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di sini, hari ini.
Sebelum ini, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan menahan lelaki beragama Islam disyaki bertindak melakukan ritual agama lain di Kuala Lumpur, 13 Oktober lalu.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata individu berusia 21 tahun itu ditahan bersama ibunya, 52 melalui waran tangkap bersaling dikeluarkan Mahkamah Rendah Shah Alam dan dilaksanakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Terdahulu, media melaporkan JAIS menyiasat individu disyaki melakukan perbuatan melanggar hukum syarat dengan melakukan ritual agama lain ketika perayaan Thaipusam di Batu Caves, Selangor.
Siasatan kes terbabit mengikut Seksyen 4 dan 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Zulkifli berkata, JAKIM sedia memberikan bantuan sewajarnya dalam usaha memupuk kesedaran dan pendidikan agama serta moral dalam kalangan masyarakat.
“Paling penting, kami di peringkat JAKIM bersama-sama agensi agama juga mahu mendidik masyarakat.
“Jadi, tindakan undang-undang akan dilaksanakan jabatan agama Islam negeri,” katanya. -BH Online

