KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) tidak lagi mahu dilihat sebagai ‘pembina jalan’ semata-mata, sebaliknya menegaskan komitmen untuk membina infrastruktur negara yang berteknologi tinggi, mampan dan selamat demi kesejahteraan rakyat.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pendekatan berasaskan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) amat penting dalam era digital bagi memastikan perancangan, pengurusan dan penyelenggaraan jalan Persekutuan mahupun negeri dilakukan secara berkesan.
Katanya, integrasi teknologi digital seperti AI dan teknologi Internet kebendaan (IoT) kini menjadi keperluan mendasar kementerian dalam memantau dan mengurus rangkaian jalan raya secara masa nyata.
“Teknologi ini sangat dinamik. AI sudah digunakan dalam mengurus, merancang dan menyelenggara semua jalan termasuk jalan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Dalam masa yang sama juga, teknologi AI ini juga akan diintegrasikan dalam pelaksanaan sistem Aliran Bebas Banyak Lorong (MLFF) apabila ia dilaksanakan sepenuhnya nanti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Jalan Se-Malaysia Ke-13 dan Kongres Jalan Asia Pasifik Ke-6, di sini, hari ini.
Persidangan bertemakan “Mentransformasikan Negara Melalui Jalan Raya yang Bersedia untuk Masa Depan” mencerminkan komitmen negara dalam menyediakan infrastruktur jalan untuk masa hadapan yang berdaya tahan, mampan serta mengekalkan kelestarian selaras dengan landskap pembangunan yang semakin kompleks pada masa ini.
Kira-kira 1,000 peserta, 112 ruang pameran dan sebanyak 118 bilangan kertas kerja merangkumi 10 sub bidang utama kejuruteraan jalan akan dibentangkan sepanjang tiga hari persidangan ini berlangsung.
Mengulas lanjut, beliau berkata, persidangan itu bukan saja memberi tumpuan kepada keperluan pembangunan jalan raya yang lebih berkualiti di dalam negara, malah menjadi platform menghimpunkan pemain industri dan profesional kejuruteraan dari dalam serta luar negara untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman.
Katanya, platform seumpama itu penting bagi membolehkan jurutera tempatan meneroka penyelesaian dan teknologi terbaharu, sekali gus memperkukuh keupayaan negara dalam menghadapi perubahan landskap pembangunan infrastruktur.
“Pembangunan bakat muda dalam bidang kejuruteraan jalan perlu diberikan perhatian menerusi program seperti Jurutera dan Profesional Muda (YEP) bagi membolehkan golongan itu menimba ilmu serta pengalaman sebelum dan ketika memasuki industri,” katanya. -BH Online
