KUALA LUMPUR: Pelancaran Panduan Usaha Wajar Hak Asasi Manusia (HRDD) hari ini disifatkan sebagai langkah ke hadapan dalam usaha memperkukuh pelaksanaan hak asasi manusia dalam sektor perniagaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata panduan itu menyediakan proses praktikal kepada perniagaan untuk mengenal pasti, mencegah, mengurangkan dan menangani potensi kesan buruk terhadap hak asasi manusia yang berpunca daripada operasi serta hubungan perniagaan mereka.
HRDD menggunakan pendekatan berasaskan risiko dan berkadar dengan keadaan sesebuah perniagaan.
“Kita mengakui bahawa setiap perniagaan berbeza. Sebuah syarikat multinasional dan sebuah perusahaan kecil atau sederhana tidak semestinya mempunyai sumber, struktur atau tahap pendedahan kepada risiko yang sama.
“Oleh itu, pendekatan kita mesti praktikal, realistik dan sesuai dengan persekitaran ekonomi serta perniagaan Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Kebangsaan Perniagaan dan Hak Asasi Manusia 2026 sebelum melancarkan HRDD di Pusat Kecemerlangan AICB, di sini, hari ini.
HRDD adalah sebahagian daripada kerangka amalan di bawah Pelan Tindakan Kebangsaan Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAPBHR) 2025–2030 di Malaysia.
Sehubungan itu, Azalina menggalakkan semua perniagaan, daripada syarikat terbesar hingga perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menggunakan HRDD sebagai alat pengurusan dan membuat keputusan, bukan sekadar dokumen pematuhan.
“Gunakannya sebagai alat pengurusan. Gunakannya sebagai alat untuk membuat keputusan. Paling utama, gunakannya untuk membina perniagaan yang lebih baik dan lebih bertanggungjawab,” katanya.
Penghormatan terhadap hak asasi manusia perlu menjadi sebahagian daripada cara perniagaan beroperasi, termasuk dalam dasar korporat, rantaian bekalan, hubungan perniagaan dan proses membuat keputusan.
Amalan perniagaan yang bertanggungjawab tidak sepatutnya dilihat semata-mata sebagai kos kerana ia memperkukuh kepercayaan dan daya tahan serta melindungi reputasi, sekali gus menyumbang kepada ekonomi Malaysia yang lebih mampan dan berdaya saing.
“Matlamat kita bukan untuk mewujudkan peraturan semata-mata demi peraturan, atau pematuhan semata-mata demi pematuhan.
“Kita mahu penghormatan terhadap hak asasi manusia menjadi sebahagian daripada cara perniagaan yang baik menjalankan urusan mereka,” katanya. -BH Online
