KUALA LUMPUR: Hasil minyak sawit mentah (MSM) Malaysia dijangka mencatat prestasi lebih baik tahun ini apabila pengeluaran bagi tempoh Januari hingga Julai 2026 meningkat sedikit berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata perkembangan itu menunjukkan industri sawit negara berada pada landasan yang baik dengan usaha pemasaran secara agresif oleh pemain industri turut membantu mengukuhkan prestasi sektor berkenaan.
“Kita masih ada lagi dua bulan. Saya positif dan melalui pemasaran secara agresif yang dilakukan industri, saya berharap sekurang-kurangnya kita dapat berada pada tahap yang setara dengan pesaing atau lebih baik berbanding tahun lalu.
“Saya percaya kita berada pada landasan yang betul,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Forum Minyak Sawit Malaysia Kuala Lumpur 2026, di sini, hari ini.
Terdahulu, Noraini dalam ucapannya berkata pengeluaran MSM pada 2025 mencapai rekod 20.28 juta tan, meningkat 4.9 peratus dan buat kali pertama melepasi paras 20 juta tan disokong penuaian yang lebih baik serta bekalan tenaga kerja yang lebih stabil.
“Bagi tempoh Januari hingga Julai 2026 pula, Malaysia merekodkan pengeluaran minyak sawit sebanyak 10.8 juta tan, sedikit lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya.
Beliau menambah, eksport minyak sawit pula melebihi 9.1 juta tan dalam tempoh Januari hingga Julai 2026, meningkat kira-kira 10 peratus.
Katanya, pada 2025, eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit menjana kira-kira AS$28.1 bilion.
Noraini berkata, kementerian menerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) turut melaksanakan beberapa inisiatif bagi membantu memasarkan produk sawit Malaysia di pasaran antarabangsa.
“Malaysia perlu terus meningkatkan produktiviti dan menghasilkan lebih banyak produk bernilai tinggi bagi memastikan industri sawit kekal berdaya saing, terutama ketika pasaran global berdepan perubahan dasar perdagangan dan rantaian bekalan.
“Keutamaan kita adalah untuk menghasilkan lebih banyak nilai daripada setiap tan minyak sawit,” katanya.
Beliau menambah, kerajaan juga akan terus menyokong kira-kira 450,000 pekebun kecil yang mengurus hampir 27 peratus daripada keseluruhan kawasan tanaman sawit negara menerusi bahan tanaman lebih baik, amalan pertanian baik, latihan dan bantuan kewangan.
Menurutnya, Malaysia juga perlu memberi tumpuan kepada pembangunan produk hiliran seperti bahan ramuan, bahan kimia dan kosmetik, selain meneroka bidang baharu termasuk bahan api penerbangan mampan (SAF) bagi meningkatkan nilai eksport tanpa bergantung kepada peluasan kawasan tanaman.
Pada masa sama, Noraini turut mengetengahkan biojisim sebagai bidang yang mempunyai potensi besar, mengambil kira pelbagai bahan yang terhasil daripada industri kelapa sawit seperti tandan buah kosong, serat sawit, tempurung isirung sawit, pelepah dan batang.
Katanya, efluen kilang minyak sawit juga boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan biogas, manakala bahan yang sebelum ini dianggap sebagai sisa perlu dilihat sebagai sumber nilai baharu.
Beliau berkata, banyak kilang sawit di Malaysia sudah menggunakan biojisim bagi menghasilkan wap dan tenaga elektrik untuk kegunaan operasi masing-masing.
“Langkah seterusnya adalah mewujudkan lebih banyak peluang komersial di mana ini memerlukan teknologi, pelaburan dan kerjasama perniagaan yang tepat.
“Jika kita melaksanakannya dengan baik, biojisim boleh memberikan pendapatan tambahan kepada industri, selain menyokong matlamat lebih luas Malaysia dalam tenaga boleh baharu dan penggunaan sumber yang lebih baik,” katanya.
Noraini berkata, kerajaan akan bertindak sebagai pemudah cara dalam usaha berkenaan, manakala pelaksanaan serta padanan perniagaan berkaitan biojisim perlu digerakkan oleh pemain industri secara perniagaan-ke-perniagaan (B2B).-BH Online

