Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata penghantaran pulang warga Myanmar ke negara asal mereka, yang kini melebihi 10,000 orang tidak hanya terhad kepada etnik Rohingya sahaja.

Perdana Menteri, berkata dalam perjanjian penghantaran pulang yang dipersetujui antara Malaysia dan Myanmar, mereka yang dihantar pulang tidak berdasarkan etnik, sama ada dari Rakhine, Karen atau Shan, mahu pun Rohingya.

Beliau berkata, sebahagian warga Myanmar yang dihantar pulang adalah atas inisiatif kerajaan negara itu sendiri melalui pesawat sejak Januari lalu dan penghantaran terakhir adalah kira-kira 1,400 orang melalui kapal tentera laut Myanmar melalui program penghantaran pulang secara sukarela.

“Kita boleh bincang masalah ini selama puluhan tahun tapi ini penyelesaian pertama yang kita catat.

“Setakat yang saya faham, Malaysia adalah negara pertama yang berjaya membawa pulang rakyat Myanmar ke negara asal mereka,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai), sama ada terdapat etnik Rohingya yang dihantar pulang dalam program penghantaran pulang secara sukarela bagi warga Myanmar.

Perdana Menteri, berkata jumlah rakyat Myanmar di negara ini mencecah 170,000 orang daripada pelbagai etnik dan status mereka hampir sama dengan etnik Rohingya.

Beliau berkata, melalui rundingan dengan Myanmar, Malaysia meletakkan syarat, iaitu kerajaan negara itu mesti menjamin layanan yang munasabah kepada rakyatnya supaya tidak ada penderaan atau pelanggaran hak asasi dan jaminan itu diberikan.

“Hanya dengan persetujuan dia (rakyat yang dihantar pulang), menandatangani persetujuan untuk pulang, baru kita hantar. Jika tidak, kita masih tidak hantar untuk menjamin keselesaan mereka dan hak asasi.

“Jadi yang pulang itu, menandatangani dokumen persetujuan dahulu, tanpa paksaan untuk dihantar pulang,” katanya.

Perdana Menteri, menegaskan negara perlu diatur berdasarkan undang-undang dan pelarian yang tidak mengikut peraturan tidak boleh dilayan hingga mereka berasa selesa serta kekal dalam negara ini.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, sebarang usaha untuk menghentikan peranan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam pendaftaran pelarian di negara ini perlu melalui rundingan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau menjelaskan peranan yang dimainkan UNHCR adalah isu legasi yang dibenarkan secara rasmi oleh kerajaan terdahulu dan sebarang pindaan peraturan mengenai perkara itu tentunya mengambil masa.

“Ini memerlukan proses rundingan dengan PBB supaya kita tidak dilihat mengetepikan peraturan antarabangsa.

“Bagaimanapun, saya setuju sebenarnya tindakan dan keputusan yang tegas harus diambil kerana urusan negara kita harus oleh jentera kita sendiri, tidak diatur oleh pegawai dari luar, yang mengatur siapa yang layak, siapa yang tidak layak (mendapat status pelarian),” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) mengenai cara untuk kerajaan tidak membenarkan UNHCR mengeluarkan kad pelarian, sebaliknya peranan itu diambil kerajaan atau Kementerian Dalam Negara (KDN). -BH Online