Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Isu graduan bekerja di luar bidang dan kelayakan akademik menjadi antara fokus utama kerajaan dalam perancangan strategi Dasar Pendidikan Tinggi 2026-2035 bagi memastikan peluang kerjaya selari dengan ijazah dimiliki.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata menerusi dasar berkenaan, kerajaan akan memberi tumpuan khusus kepada graduan universiti bagi menangani isu guna tenaga tidak penuh (underemployment).

Langkah itu, katanya, bagi memastikan graduan yang mempunyai ijazah mendapat peluang pekerjaan yang selari dengan bidang pengajian mereka.

“Sebab itulah langkah-langkah yang berterusan perlu dilakukan kerana setiap tahun ribuan pelajar keluar (tamat belajar) dan mereka akan memilih bidang masing-masing dan di situ terdapat keperluan dalam pasaran yang perlu kita tetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, antara langkah yang dibuat oleh pihak kementerian adalah bekerjasama dengan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA). 

“Ini kementerian utama yang perlu kerjasama m baik dan alhamdulillah kerjasama ini berjalan bagi memastikan supaya mereka yang keluar daripada universiti atau politeknik dapat kita selaraskan bidang pekerjaan yang selaras dengan kelayakan mereka,” katanya. 

Sementara itu, ditanya sama ada gaji graduan akan dinaikkan selaras dengan kenaikan gaji minimum, Zambry berkata, perkara itu sudah dibincangkan dalam Kabinet.

“Perdana Menteri memberi perhatian khusus juga apabila adanya pelarasan gaji yang akan diumumkan oleh beliau nanti. 

“Selaras dengan itu juga ia akan mengambil kira soal gaji graduan. Saya tidak boleh sebut berapa tapi biarlah Perdana Menteri sebutkan,” katanya. 

Semalam, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Zambry memperkukuh laluan pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan graduan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu perlu diberi perhatian susulan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kira-kira 1.6 juta graduan atau 32.2 peratus bekerja di bawah tahap kelayakan. -BH Online