Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Seramai 249,000 individu yang berdepan kebankrapan sudah mendapat pelepasan menerusi Dasar Peluang Kedua dilaksanakan kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata dasar itu memastikan kebankrapan dilihat sebagai proses pemulihan yang membolehkan individu kembali berdikari dan menyumbang kepada ekonomi negara.

“Masalah kewangan tidak seharusnya menjadi hukuman seumur hidup. Kita mahu masalah dicegah lebih awal, pertikaian diselesaikan dengan berkesan dan mereka yang jatuh diberi peluang untuk bangkit serta kembali berkarya,” katanya selepas perasmian Program “Seni, Populariti dan Survival Kewangan – Memperkasa Industri Kreatif melalui Dasar Peluang Kedua” di Asian International Arbitration Centre (AIAC), di sini, hari ini.

Program itu kerjasama Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi memperkukuh sokongan kepada penggiat industri seni dan kreatif yang berdepan cabaran kewangan.

Azalina berkata, industri kreatif tidak terkecuali daripada risiko kewangan, terutama apabila penggiatnya bergantung kepada kontrak, projek bermusim dan bayaran yang kadangkala tertangguh.

Katanya, situasi itu boleh menyebabkan penggiat industri terperangkap dalam masalah kewangan, terutama apabila pihak yang berjanji membuat bayaran gagal memenuhi komitmen.

“Kadang-kadang kita hidup atas kontrak dan orang yang janji hendak bayar kita tidak bayar. Kita boleh tersepit dalam kitaran itu.

“Sebab itu perlu ada kefahaman dan pendidikan. Kita mesti tahu hak kita walaupun kontrak itu kecil kerana ada cara untuk meminimumkan kejatuhan yang begitu dahsyat,” katanya.

Beliau berkata, kesedaran awal mengenai hak perundangan dan pengurusan kewangan penting supaya penggiat industri tidak hanya mendapatkan bantuan apabila sudah berdepan masalah serius.

Azalina turut menggalakkan penggiat industri kreatif memanfaatkan kemudahan penyelesaian pertikaian alternatif yang disediakan kerajaan, termasuk mediasi bagi kes sivil bernilai sehingga RM500,000.

Katanya, mediasi boleh menjadi pilihan bagi menyelesaikan pertikaian kontrak dengan lebih cepat dan kos yang lebih rendah berbanding proses mahkamah, sekiranya kedua-dua pihak bersetuju.

“Kalau ada pertikaian kontrak, tidak semestinya perlu terus ke mahkamah. Kita menawarkan mediasi untuk kes sivil di bawah RM500,000.

“Mediasi mencari penyelesaian untuk diselesaikan, bukan semata-mata mencari pertikaian,” katanya.

Azalina berkata, MdI turut melaksanakan pendekatan ‘fast track’ bagi kategori tertentu di bawah Dasar Peluang Kedua, termasuk ibu atau bapa tunggal, usahawan mikro, mangsa penipuan dan peminjam projek perumahan terbengkalai, tertakluk kepada syarat ditetapkan.

Beliau berkata, Dasar Peluang Kedua bukan sahaja memberi manfaat kepada individu yang mendapat pelepasan kebankrapan, malah membolehkan mereka kembali aktif dalam pasaran kerja atau perniagaan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

“Kalau kita menahan mereka daripada berniaga, kita rugi banyak. Sebab itu kerajaan mengarahkan Jabatan Insolvensi mencari cara untuk memberikan peluang kedua,” katanya.

Pada majlis sama, MdI dan AIAC turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang insolvensi dan penyelesaian pertikaian alternatif (ADR), termasuk perkongsian kepakaran, latihan dan pembangunan kompetensi.-BH Online