Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) masih “sangat terbuka” untuk mengadakan perbincangan dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada ruang perbincangan dengan PH masih terbuka menjelang pilihan raya negeri itu.

“Ya, kami sangat terbuka,” katanya ringkas selepas menghadiri Seminar Ilmuwan Islam di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, hari ini.

Ahmad Zahid sebelum itu mengesahkan BN telah mengadakan perbincangan dengan PH dan Pas berhubung kerjasama menghadapi PRN berkenaan.

Malah, ketika ditanya mengenai tahap kemajuan perbincangan pada skala satu hingga 10, beliau meletakkannya pada tahap 9.5.

Namun beliau menyatakan sebarang keputusan mengenai rakan gabungan untuk PRN Melaka akan diputuskan selepas mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 7 Oktober depan.

“Dengan kedua-duanya kami telah mengadakan perbincangan sebenarnya.

“Selepas itu akan ada pengumuman untuk memuktamadkan dengan gabungan mana yang harus kita bekerjasama atau mengadakan jalinan kesefahaman untuk kita bergerak dalam PRN Melaka,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, penggunaan logo sekiranya Pas bertanding dalam PRN Melaka belum dibincangkan secara rasmi.

Bagaimanapun, beliau percaya Pas lebih selesa menggunakan logo sendiri seperti dalam pilihan raya negeri sebelum ini.

“Kami tidak ada masalah kalau mereka mahu menggunakan logo yang mereka akan kemukakan, itu soal parti mereka,” katanya lagi.

Menurut Ahmad Zahid, BN dan parti komponennya pula akan kekal menggunakan logo gabungan itu.

Beliau berkata, di peringkat akar umbi khususnya pusat daerah mengundi, jentera akan digerakkan bersama meskipun BN belum memutuskan rakan kerjasama bagi PRN berkenaan.

Katanya, gerakan itu dirancang bagi memastikan “gelombang biru” di Melaka dapat diterjemahkan sebelum diperluaskan ke seluruh negara apabila tiba waktunya. -Astro Awani