Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dikecualikan daripada kenaikan kadar gaji minimum baharu buat masa ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata kerajaan akan mengambil pendekatan lain untuk membantu meningkatkan gaji pekerja dalam sektor PMKS.

Katanya, ia termasuk sokongan subsidi gaji di bawah Dasar Gaji Progresif supaya kenaikan gaji bergerak seiring dengan peningkatan produktiviti.

“Saya membangkitkan isu gaji minimum dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini. Kabinet bersetuju bahawa gaji rakyat perlu terus ditingkatkan.

“Namun, kita juga perlu melindungi perniagaan tempatan, khususnya PMKS yang sedang berdepan tekanan kos operasi dan cabaran ekonomi semasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Nasir dilapor berkata keseimbangan antara kebajikan pekerja dan kelangsungan majikan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu diambil kira dalam cadangan peningkatan gaji minimum kepada RM2,000.

Beliau bagaimanapun berkata, pengumuman rasmi mengenai perkara itu akan dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2027 bulan depan.

Dalam pada itu, Sim berkata matlamat kerajaan adalah jelas iaitu membela kebajikan pekerja dengan gaji yang lebih wajar.

“Sementara PMKS kekal berdaya saing untuk terus berkembang dan menjana peluang pekerjaan,” katanya. -BH Online