Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

HANGZHOU: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pembangunan kecerdasan buatan (AI) perlu berteraskan etika.

Perdana Menteri berkata, sistem perdagangan digital juga perlu terbuka serta berasaskan peraturan bagi memastikan negara membangun, khususnya Global South, turut menikmati manfaat kemajuan teknologi digital.

Katanya, perkembangan pesat AI tidak seharusnya hanya meningkatkan produktiviti dan daya saing industri, sebaliknya perlu memberi manfaat kepada masyarakat dan mengelakkan jurang antara negara kaya dengan negara membangun semakin melebar.

Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata apa yang lebih penting rakyat juga perlu mendapat manfaat daripada perubahan teknologi, bukan sekadar berdepan kesannya.

“Adakah kita dalam mengejar kemajuan teknologi pada masa sama membiarkan ketidaksamaan sosioekonomi terus membelenggu dunia. Ini satu persoalan asas perlu kita beri perhatian. 

“Prinsipnya tetap sama, sama ada kita mentadbir AI atau AI yang akan mentadbir kita,” katanya dalam ucaptama pada majlis pembukaan Ekspo Perdagangan Digital Global Kelima (GDTE) dirasmikan Perdana Menteri China, Li Qiang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Duta Malaysia di China, Datuk Norman Muhamad.

Anwar berkata, objektif Malaysia dalam pembangunan AI amat jelas, antaranya meningkatkan produktiviti, membantu perusahaan kecil bersaing dan menggerakkan industri ke arah aktiviti bernilai lebih tinggi.

Katanya, pertumbuhan AI secara eksponen mungkin menjadi aspirasi kebanyakan negara, namun persoalan lebih penting ialah tujuan teknologi berkenaan dan manfaatnya kepada manusia.

“China, Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Eropah kini berada di barisan hadapan pembangunan AI, namun kemajuan teknologi perlu dilihat dalam konteks lebih luas termasuk kesannya terhadap negara membangun.

“Apakah tujuan sebenar kemajuan itu kepada manusia jika perkembangan berkenaan hanya menyebabkan jurang antara negara kaya dengan negara membangun serta ekonomi maju dengan ekonomi sedang membangun semakin melebar.

“Ini bukan kebimbangan yang dibayangkan atau dibesar-besarkan, tetapi kepentingan mendalam terhadap kesejahteraan rantau, negara dan komuniti,” katanya.

Beliau berkata, teknologi juga patut memberi negara membangun ruang lebih besar untuk menentukan masa depan sendiri dan tidak menyebabkan mereka terus bergantung kepada teknologi yang dibangunkan di negara lain.

“Persoalannya ialah sama ada teknologi ini akan memberikan negara membangun suara lebih besar dalam menentukan masa depan mereka sendiri atau menyebabkan mereka bergantung kepada teknologi yang direka di tempat lain,” katanya.

Perdana Menteri turut merujuk pendirian Presiden China, Xi Jinping, ketika menghadiri mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Korea Selatan tahun lalu yang menyentuh isu tadbir urus, tanggungjawab dan kepentingan manusia dalam pembangunan AI.

Katanya, Jinping turut mengingatkan mengenai kepentingan memberi perhatian kepada persoalan etika dalam usaha memajukan AI.

“Meneliti jilid keempat buku Xi Jinping: The Governance of China, yang antara lain membincangkan cabaran akibat perkembangan teknologi tidak terkawal dan pendekatan berteraskan etika supaya teknologi digunakan untuk tujuan yang membawa kebaikan.

“Prinsip panduan ini bermaksud inovasi dan kemajuan teknologi pada akhirnya mesti berkhidmat kepada manusia,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia komited memajukan AI dan akan terus mempelajari serta berkongsi penggunaan teknologi berkenaan dalam pelbagai bidang termasuk pembuatan, penjagaan kesihatan, pertanian, logistik dan pendidikan.

Katanya, etika dan tadbir urus perlu kekal sebagai asas penting dalam pembangunan AI bagi memastikan kemajuan teknologi tidak mengorbankan kepentingan manusia.

Anwar turut menggesa sistem perdagangan digital dunia kekal terbuka dan berasaskan peraturan, sambil mengakui kerajaan perlu melindungi rakyat serta kepentingan strategik masing-masing.

“Dunia kini berdepan ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi, selain teknologi semakin dilihat sebagai instrumen keselamatan negara.

“Kerajaan perlu melindungi rakyat dan kepentingan strategik, tetapi bukan dengan membina halangan yang menyebabkan ketidaksamaan semakin buruk.

“Kita memerlukan garis panduan apabila risikonya benar-benar wujud, tetapi ia tidak seharusnya menjadi tembok yang tidak boleh ditembusi,” katanya.

Beliau berkata, negara membangun sudah lama berdepan cabaran mendapatkan amalan perdagangan yang adil dan kebimbangan itu kini turut meliputi perdagangan digital serta AI.

“Digitalisasi dan AI sepatutnya membantu mengurangkan ketidaksamaan dan memperluas peluang perdagangan, bukannya memburukkan lagi ketidakadilan,” katanya.

Anwar berkata, Malaysia tidak mengambil pendirian menyebelahi mana-mana pihak dalam persaingan kuasa besar, sebaliknya mahu negara kecil dan membangun mempunyai ruang menyatakan pendirian mengenai perkara yang adil dan saksama.

“Kita datang daripada negara kecil yang berjuang untuk terus bertahan, tetapi kita mesti mempunyai keberanian dan keyakinan untuk menyatakan pendirian mengenai apa yang betul, bermoral, adil dan saksama, khususnya memperjuangkan kepentingan Global South,” katanya.

Beliau turut menghargai peranan China dalam berkongsi kemajuan teknologi dengan negara Global South, termasuk melalui kerjasama syarikat teknologi China yang membantu proses transformasi digital Malaysia.

Anwar berkata, pengalaman China menunjukkan globalisasi tidak seharusnya berasaskan penguasaan atau sikap merendahkan negara lain, sebaliknya perlu berpaksikan perkongsian perdagangan, kemakmuran serta penghormatan terhadap budaya, agama dan masyarakat.

Sementara itu, beliau berkata, Malaysia akan terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab perdagangan digital serantau, selain membuka ekonomi kepada pelaburan dan perkongsian digital.

“Malaysia mempunyai kelebihan termasuk tenaga kerja berdisiplin, tenaga mahir pelbagai bahasa, ekonomi berasaskan peraturan serta kedudukan strategik untuk mencapai pasaran Asia dan luar rantau.

“Pendedahan kepada teknologi baharu juga perlu diperluas kepada generasi muda, termasuk menerusi penyertaan Malaysia dalam WorldSkills Shanghai 2026 yang menghimpunkan kira-kira 1,400 peserta muda dari seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran WorldSkills dan GDTE memperlihatkan kesediaan China berkongsi kemajuan teknologi dengan negara lain.

“Ekonomi digital yang lebih kukuh ialah membolehkan lebih banyak negara mengambil bahagian, lebih banyak perniagaan bersaing dan lebih ramai rakyat menikmati kemakmuran,” katanya. -BH Online