Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti strategi bagi memenuhi keperluan bekalan elektrik dan air bersih untuk pembangunan pusat data tanpa menjejaskan pengguna domestik serta industri lain.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pembangunan pusat data membawa permintaan besar terhadap bekalan elektrik dan air yang turut diperlukan sektor lain.

Jelasnya, perkara itu kini dibincangkan di peringkat kerajaan termasuk membabitkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

“Apabila pusat data masuk, ia membawa lonjakan besar dalam permintaan bekalan elektrik dan air. Kerajaan perlu memastikan keperluan pusat data tidak menyebabkan kesukaran dalam menyediakan bekalan elektrik dan air kepada pengguna lain, termasuk sektor domestik dan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Future-Ready Green Data Centre Symposium: Sustainable and High-Performance Engineering, di sini, hari ini.

Nanta berkata, ekonomi tidak boleh hanya bergantung kepada pusat data, meskipun kemudahan itu penting dan boleh memberi sumbangan besar.

“Kita juga tidak boleh mengorbankan industri lain yang selama ini membangunkan ekonomi kita,” katanya.

Dalam ucapannya sebelum itu, Nanta berkata, berdasarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Malaysia merekodkan RM385.7 bilion pelaburan berkaitan pusat data antara 2021 hingga separuh pertama 2026.

Katanya, kira-kira 4.6 gigawatt (GW) kapasiti dilaporkan dirancang atau sedang dalam pembinaan.

“Pusat data kini sebahagian daripada landskap infrastruktur kita yang lebih luas, bukan sekadar projek individu. Pusat data bergantung kepada bekalan elektrik, air, kesalinghubungan, jalan raya dan infrastruktur sokongan yang perlu berkembang secara bersama,” katanya.

Menurutnya, kerajaan, industri dan agensi bertanggungjawab perlu menyelaraskan perancangan merentasi keseluruhan ekosistem berkenaan.

“Pelaburan dan kapasiti semata-mata tidak boleh menjadi ukuran kejayaan, sebaliknya kecekapan sumber, penyampaian yang selamat dan boleh dipercayai, prestasi aset serta pembangunan keupayaan rakyat Malaysia turut perlu diambil kira.

“Pusat data juga perlu direka bentuk dengan mengambil kira penggunaan tenaga dan air secara cekap, penyelenggaraan, naik taraf serta perubahan teknologi sepanjang kitaran hayat aset,” katanya.

Beliau berkata, pelaburan pusat data seharusnya memperkukuh jurutera, kontraktor, pengilang, penyedia teknologi, pakar penyelenggaraan, firma profesional dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia dalam rantaian nilai yang lebih luas.

“Apabila modal global membina kapasiti di sini, keupayaan Malaysia juga mesti berkembang bersamanya. Malaysia turut mempunyai tarikan kepada pelabur pusat data kerana negara ini dilihat mempunyai kerangka tadbir urus, peraturan dan undang-undang yang baik,” katanya.

Jelasnya, pelabur pusat data mencari kestabilan dan kepastian apabila menentukan lokasi pelaburan. -BH Online