NEW YORK: Malaysia terus diberikan kepercayaan sebagai ahli Kumpulan Tindakan Menteri Komanwel (CMAG) untuk mempertahankan nilai dan prinsip Komanwel.
Perkara itu diketengahkan menerusi kunjungan hormat Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ke atas Setiausaha Agung Komanwel, Shirley Botchwey di luar persidangan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-81.
“Pertemuan membincangkan hala tuju Komanwel dalam menghadapi cabaran-cabaran semasa termasuk terhadap prinsip demokrasi, kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia.
“Dalam hal ini, Malaysia terus diberikan kepercayaan sebagai ahli CMAG untuk mempertahankan nilai dan prinsip Komanwel.
“Malaysia menjadi ahli CMAG sejak tahun 2018,” menurut kenyataan berhubung pengisian kunjungan hormat berkenaan kepada BuletinTV3, hari ini.
Menurut kenyataan itu, Mohamad dan Shirley turut membincangkan persiapan bagi Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) ke-28.
Menteri Luar akan mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke persidangan itu.
“CHOGM 2026 antara lain akan memberikan tumpuan kepada penerokaan peluang perdagangan dan pelaburan,” katanya.
Malaysia mengalu-alukan peluasan jaringan hubungan Komanwel dengan negara lain seperti Bahrain, Brazil, Kuwait, Qatar dan UAE.
Negara-negara terbabit dijemput buat julung kalinya ke CHOGM 2026. -BH Online
