KUALA LUMPUR: Industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia dijangka mencatat peningkatan output dan pendapatan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, disokong usaha memperluaskan penyertaan syarikat tempatan ke pasaran antarabangsa.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata pengembangan ke luar negara adalah penting bagi mempelbagaikan sumber pendapatan pemain OGSE tempatan, sekali gus meningkatkan daya tahan terhadap sebarang kejutan dalam industri.
Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan belum menetapkan kadar pertumbuhan khusus yang boleh dijana daripada pasaran eksport kerana usaha memperluaskan penembusan antarabangsa itu masih di peringkat awal.
“Pendekatan ini setakat ini menunjukkan perkembangan yang menggalakkan dan diharapkan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, kita dapat melihat peningkatan dari segi output dan pendapatan yang boleh dijana menerusi inisiatif ini daripada pasaran eksport.
“Untuk meletakkan peratusan tepat, saya fikir masih terlalu awal ketika ini. Sekarang kita mahu ke Oil & Gas Turkmenistan (OGT) yang akan diadakan pada Oktober dan selepas itu, diharapkan MPRC (Malaysia Petroleum Resources Corporation) dapat mengemukakan angka lebih konkrit seawal tahun depan mengenai sejauh mana kita boleh menembusi pasaran antarabangsa menerusi IMAP,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena program PRIVET OGSE Turkmenistan anjuran MPRC di sini, hari ini.
Akmal Nasrullah berkata, sebanyak 14 syarikat OGSE tempatan yang mempunyai keupayaan, kredibiliti dan minat meneroka peluang di Turkmenistan dikenal pasti untuk menyertai delegasi ke OGT pada bulan depan.
Katanya, langkah itu dilaksanakan menerusi International Market Access Programme (IMAP) yang digerakkan oleh MPRC bagi membantu syarikat tempatan mengembangkan perniagaan serta mengurangkan kebergantungan kepada pasaran domestik.
Beliau berkata, usaha berkenaan juga selari dengan Pelan Tindakan Industri OGSE Kebangsaan 2021-2030 yang antara lain menyasarkan pendapatan eksport meningkat kepada 50 peratus daripada keseluruhan pendapatan industri menjelang 2030.
“Bagi mereka untuk lebih berupaya menyerap sebarang kejutan, kita perlu memperkukuh aliran pendapatan, termasuk daripada luar negara dan pasaran antarabangsa,” katanya.
Mengulas kedudukan industri, Akmal Nasrullah berkata, sebanyak 2,894 organisasi OGSE direkodkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi tahun rujukan 2023, dengan 2,652 atau 91.6 peratus daripadanya terdiri daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Justeru, katanya, usaha meningkatkan skala syarikat tempatan penting bagi membolehkan mereka memperluaskan akses pasaran dan membina sumber pendapatan antarabangsa yang mampan, sekali gus berkembang sebagai pemain serantau yang lebih kukuh.
Berdasarkan rekod 2023, industri OGSE menjana output kasar RM79.2 bilion dan nilai ditambah RM39.4 bilion, bersamaan kira-kira 2.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal Malaysia.
Industri itu turut menggaji lebih 123,000 orang, termasuk hampir 109,000 pekerja mahir dan separa mahir.
“Melalui proses ini, ia sudah tentu akan terus memperkukuh eksport perkhidmatan kita serta peralatan yang boleh dibekalkan,” katanya.
Selain Turkmenistan, Akmal Nasrullah berkata, Timor-Leste turut dikenal pasti sebagai antara destinasi seterusnya yang akan diteroka menerusi IMAP, manakala beberapa pasaran sedang pesat membangun lain turut dinilai.
Beliau berkata, MPRC bersama kerajaan dan agensi berkaitan akan membantu membuka laluan ke pasaran luar melalui pengenalan, misi perdagangan dan perniagaan, libat urus pemegang taruh serta kerjasama institusi.
Bagaimanapun, katanya, akses pasaran sahaja tidak menjamin kejayaan kerana syarikat sendiri perlu menukar peluang berkenaan kepada perniagaan yang berdaya maju dan mampan secara komersial. -BH Online
