Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini, membenarkan seorang lelaki yang membawa plakad bertulis “Justice for Najib Razak” untuk naik ke atas pentas pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026) di sini.

Lelaki itu yang mengenakan baju Melayu berwarna merah dilihat memegang plakad berkenaan ketika Ahmad Zahid sedang menyampaikan ucapan penggulungan.

Difahamkan, anggota keselamatan pada mulanya menghalang lelaki itu daripada naik ke pentas, menyebabkan Ahmad Zahid campur tangan dan membenarkan beliau naik.

“Jangan halang mereka yang mahu naik ke pentas. Walaupun saya sedang berucap, saya benarkan beliau naik.

“Berikan tepukan gemuruh kepadanya,” kata Ahmad Zahid disambut tepukan oleh perwakilan.

Ahmad Zahid, sebelum itu melahirkan rasa sedih atas keputusan Lembaga Pengampunan semalam yang menangguhkan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, UMNO terus menaruh harapan supaya permohonan itu dapat dipertimbang sebaik-baiknya pada mesyuarat Lembaga akan datang, dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

“Dengan segala kerendahan hati, kami, Perhimpunan Agung UMNO yang bersidang pada semalam dan hari ini merafak sembah memohon limpah ihsan dan perkenan Tuanku supaya kiranya dapat diberikan pertimbangan pengampunan sepenuhnya kepada Datuk Seri Najib.

“UMNO menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan dan budi bicara Tuanku dengan penuh hormat kepada institusi raja dan keluhuran perlembagaan,” katanya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong berkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dijangka bermesyuarat untuk mempertimbang, antara lain permohonan Najib bagi mendapatkan pengampunan terhadap sabitan berkaitan kes seleweng dana SRC International Sdn Bhd. -BH Online