Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

NEW DELHI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, di sini, hari ini, ketika Malaysia berhasrat terus memperkukuh hubungan ekonomi dengan negara berkenaan di tengah-tengah cabaran risiko geopolitik dan sekatan antarabangsa.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan serta beberapa delegasi Malaysia turut menghadiri perjumpaan di Hotel The Oberoi, di sini.

Sesi pertemuan itu dijangka memberi tumpuan kepada hubungan dua hala, khususnya peluang memperluaskan kerjasama perdagangan, pelaburan dan ekonomi antara Malaysia-Iran.

Anwar pada awal tahun ini menegaskan Malaysia akan terus mengekalkan hubungan perdagangan serta diplomatik dengan Iran walaupun Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan akan mengenakan tarif 25 peratus ke atas barangan dari negara yang menjalankan urusan perniagaan dengan Tehran.

Beliau berkata, hubungan Malaysia dengan Iran kekal utuh dan terus berlandaskan ketelitian, kepentingan nasional serta penghormatan terhadap kedaulatan negara lain.

Anwar turut menegaskan Malaysia akan menggunakan kebijaksanaan dalam menguruskan hubungan antarabangsa bagi memastikan negara tidak kelihatan lemah atau mengambil tindakan yang boleh menjejaskan kepentingan negara.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Iran mencatatkan RM2.45 bilion pada 2025, dengan sebahagian besarnya didorong oleh eksport bernilai RM2.17 bilion yang didominasi produk minyak sawit, manakala import pula merangkumi produk minyak dan gas dari Iran.

Perjumpaan itu diadakan ketika Malaysia mahu memanfaatkan keahliannya dalam BRICS untuk meluaskan pembabitan ekonomi dengan pasaran membangun, manakala keahlian Iran dalam blok berkenaan membuka satu lagi saluran bagi kerjasama perdagangan, pelaburan dan ekonomi.

Kedua-dua negara sebelum ini mengenalpasti beberapa sektor untuk kerjasama lebih rapat merangkumi bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan penyelidikan.

Bagaimanapun, perbincangan itu berlangsung dalam suasana ketegangan yang semakin meruncing membabitkan Iran, AS dan Israel, di samping pemantauan ketat terhadap eksport tenaga serta aktiviti maritim Iran.

Bagi Malaysia, situasi itu memerlukan pendekatan berhati-hati dalam mengimbangi perluasan hubungan ekonomi yang sah dengan Iran, sambil melindungi syarikat, institusi kewangan serta pengendali maritim tempatan daripada potensi sekatan dan kesan tindak balas perdagangan.

Pada jam 10.30 pagi waktu tempatan, Anwar dijadualkan bertemu rakan sejawatannya dari India yang juga hos sidang kemuncak, Narendra Modi, sebelum mengadakan perjumpaan dua hala ketiga bersama Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed pada sebelah petang.

Beliau turut dijadualkan mengadakan perjumpaan singkat di luar sidang kemuncak bersama Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev.

Perdana Menteri seterusnya akan mengadakan siri pertemuan empat mata bersama tokoh-tokoh korporat India, termasuk Kumpulan Adani yang mempunyai kepentingan gergasi dalam sektor pengangkutan, logistik, tenaga dan pembangunan infrastruktur berskala besar di India.

Pertemuan lain yang turut diatur termasuk bersama Segula Technologies India Pvt Ltd yang juga kumpulan kejuruteraan global; AWL Agri Business Ltd iaitu antara syarikat barangan pengguna cepat laris (FMCG) serta makanan utama India; dan Kumpulan Motherson iaitu pakar reka bentuk, kejuruteraan, pembuatan, pemasangan dan logistik antarabangsa.

Anwar kemudiannya dijadualkan menghadiri majlis makan malam gala bagi pemimpin negara anggota, rakan kongsi dan jemputan BRICS di Bharat Mandapam, iaitu pusat pameran dan konvensyen yang menjadi lokasi sidang kemuncak berkenaan. -BH Online