KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) bersama Kementerian Komunikasi dan agensi berkaitan sedang meneliti undang-undang khusus bagi menangani kegiatan ulat tiket atau scalper.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata usaha itu penting bagi menangani kegiatan individu yang memborong tiket, termasuk menggunakan bot automatik, sebelum menjualnya semula pada harga jauh lebih tinggi.
Beliau berkata kegiatan berkenaan bukan sahaja menyebabkan pengguna terpaksa membayar harga melampau, malah boleh mendedahkan mereka kepada risiko penipuan apabila membeli tiket daripada penjual tidak rasmi.
“Sekarang ini ramai yang teruja untuk dapatkan tiket Formula 1 Sepang 2026 yang bakal berlangsung bulan hadapan. Jadi berhati-hati buat pembelian,” katanya menerusi hantaran Facebook.
Fuziah berkata pembelian daripada penjual tidak rasmi boleh menyebabkan pengguna menerima tiket palsu, tiket yang telah digunakan atau tiket yang dibatalkan oleh penganjur.
Sehubungan dengan itu, pengguna disaran menyemak saluran jualan rasmi, harga asal, identiti penjual serta syarat penggunaan tiket sebelum membuat pembayaran.
“Jangan mudah percaya kepada tangkap layar atau desakan seperti ‘bayar sekarang sebelum orang lain ambil’,” katanya.
Dalam pada itu, kesedaran pengguna kekal sebagai benteng pertama dalam menangani kegiatan ulat tiket kerana selagi ada pihak yang sanggup membeli, selagi itulah kegiatan berkenaan terus berlaku.
“Gunakan kuasa anda sebagai pengguna. Jangan beli daripada ulat tiket, jangan tunduk kepada harga melampau dan jangan biarkan keterujaan menyebabkan diri anda menjadi mangsa,” katanya.– BERNAMA
