Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA – Sokongan kepada pekebun kecil perlu bergerak seiring dengan usaha memperkukuh keseluruhan rantaian nilai agrikomoditi untuk memastikan pertumbuhan industri turut memberi manfaat kepada golongan itu, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata kerjasama antara industri, penyelidik, usahawan dan masyarakat amat penting dalam mempercepat penggunaan teknologi dan pembangunan produk agrikomoditi.

“Dalam setiap libat urus bersama pemain industri, tumpuan kita bukan hanya kepada pertumbuhan syarikat atau peningkatan eksport. Kita juga mahu pertumbuhan itu meluaskan lagi pasaran dan meningkatkan permintaan terhadap hasil tempatan.

“Apabila industri berkembang, peluang kepada usahawan perlu bertambah dan manfaatnya turut dirasai oleh pekebun kecil. Sebab itu, usaha meningkatkan produktiviti, mempercepat penggunaan teknologi dan menghasilkan produk bernilai tambah perlu diberikan perhatian secara bersama,” katanya ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di sini hari ini.

Bagi meningkatkan pendapatan dalam jangka panjang, Noraini berkata program tanaman semula kekal menjadi keutamaan KPK dan sehingga 31 Ogos lepas, seramai 4,380 pekebun kecil telah menerima manfaat melalui Program Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 (TSPKS).

Pelaksanaannya melibatkan kawasan seluas 12,197.11 hektar dengan jumlah pembiayaan hampir RM191 juta.

“Kita mahu tanaman semula dilaksanakan dengan teratur dan menggunakan bahan tanaman berkualiti. Matlamatnya adalah untuk meningkatkan produktiviti serta memberikan pulangan yang lebih baik kepada pekebun kecil,” katanya.

Menjelang Belanjawan 2027, Noraini berkata kerajaan ingin memastikan pekebun kecil memperoleh pendapatan yang lebih baik, penggunaan teknologi yang lebih moden untuk memudahkan industri dan lebih banyak nilai daripada komoditi negara dapat diwujudkan serta dikekalkan di Malaysia.

Sehubungan itu, KPK telah mengemukakan lima keutamaan strategik menjelang pembentangan Belanjawan 2027, antaranya memperkasa pekebun kecil melalui penggunaan input berkualiti, amalan pertanian baik, program penanaman semula dan mempercepat mekanisasi, automasi serta pendigitalan, termasuk penggunaan teknologi pintar dan kecerdasan buatan (AI).

KPK juga mahu memperkukuh industri hiliran melalui penyelidikan, pengkomersialan inovasi dan penghasilan produk baharu berteknologi tinggi, memperkukuh kemampanan, kebolehkesanan dan pematuhan terhadap standard antarabangsa serta membangunkan bakat tempatan melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan menarik penyertaan golongan belia. – BERNAMA