Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SERDANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan peruntukan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM ) boleh ditambah, namun menegaskan pengurusan dana awam mesti dilaksanakan dengan teliti serta telus. 

Menurut Anwar, beliau tiada masalah untuk meningkatkan peruntukan kepada kementerian berkenaan kerana bantuan itu akan memberi manfaat secara langsung kepada petani, pesawah, pengusaha ladang dan nelayan.

“Di pihak kerajaan, saya tidak mempunyai masalah sama sekali untuk meningkatkan peruntukan bantuan kepada KPKM kerana ia akan memberi manfaat secara langsung kepada petani, pesawah, pengusaha ladang dan nelayan.

“Peningkatan peruntukan itu bagaimanapun perlu disertai tadbir urus yang baik bagi memastikan dana berkenaan digunakan secara berkesan,” katanya berucap merasmikan majlis penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. 

Anwar berkata, Kerajaan MADANI menekankan soal tata kelola dan tadbir urus yang baik kerana peruntukan yang besar itu mesti diuruskan dengan sebaiknya.

Kerajaan tiada pilihan dan demi menyelamatkan nasib petani, pesawah serta nelayan semua, pengurusan perlu dijalankan dengan baik. 

Tegasnya, belanja boleh bertambah, peruntukan boleh bertambah akan tetapi jika ia bocor atau mengalami ketirisan, yang terjejas adalah petani, nelayan dan pesawah.

“Begitu juga dengan isu FELDA, setiap tahun Kementerian Kewangan mesti sediakan RM980 juta dana untuk membayar hutang akibat kerugian FELDA, hampir satu bilion ringgit daripada wang kerajaan, wang rakyat… wang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan semua. 

“Kita terpaksa bayar, jika disebabkan bencana alam bolehlah kita faham tetapi ini disebabkan oleh pengurusan yang lemah dan amalan mengambil hak rakyat oleh orang-orang yang diamanahkan. 

“Bagaimana saya nak bebankan peneroka dari kampung yang miskin, ia bukan salah mereka. 

“Urus lemah, wang songlap atau ada sakau, kemudian apabila rugi nak bebankan kepada orang kampung, peneroka… saya tak sanggup,” katanya. 

Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan juga menambah dana RM450 juta untuk membaiki rumah peneroka. 

Katanya, jika FELDA diurus dengan baik, rakyat juga tidak akan terbeban. 

“Kita tak payah fikir nak cukai sebab pengurusan baik. Jadi saya minta masing-masing harus bantu menjaga wang rakyat, wang negara dengan cermat. 

“Ini kerana kita bukan sahaja bertanggungjawab kepada rakyat tetapi akhirnya juga kepada Allah SWT,” katanya.-BH Online