Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GEORGETOWN: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi tumpuan terhadap pembangunan sukan akar umbi, penglibatan belia tidak berpersatuan serta pemerkasaan kebajikan atlet dalam menyediakan kerangka Belanjawan 2027.

Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari, berkata cadangan berkenaan sedang diperincikan berdasarkan input yang diperoleh menerusi Jelajah Belanjawan Belia MADANI merangkumi enam zon di seluruh negara yang dijadual selesai bulan ini.

“Kita telah melaksanakan Jelajah Belanjawan Belia MADANI bermula di Ibu Pejabat sendiri kemudian kita bergerak ke Zon Utara, Zon Timur, Tengah serta seterusnya dan kita menyasarkan keseluruhan siri jelajah dapat diselesaikan bulan ini.

“Rangka awal input yang dikumpulkan setakat ini telah diserahkan kepada Kementerian Kewangan sebelum dapatan menyeluruh dimuktamadkan untuk pertimbangan peringkat akhir,” katanya ketika ditemui pemberita pada Siri Larian Menara Oregeon di The Top KOMTAR di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Taufiq berkata, pihaknya turut memberi tumpuan kepada golongan belia luar bandar serta berhasrat mendekati seramai mungkin anak muda menerusi penganjuran aktiviti sukan serta program bersifat massa dalam usaha melahirkan atlet pelapis di peringkat akar umbi.

“Kita mahu memastikan golongan belia di peringkat akar umbi, sama ada di bandar atau luar bandar tidak terpinggir dan dapat dijangkau menerusi penganjuran aktiviti dan program bersifat massa.

“Sebab itu, ruang dan peluang daripada segi dana, geran, sukan komuniti dan geran padanan sukan adalah antara platform untuk menggalakkan lebih ramai di peringkat akar umbi menyertai aktiviti sukan massa,” katanya.

Katanya, kementerian turut mengambil kira pandangan persatuan sukan dan pertubuhan belia selain keperluan golongan belia di luar bandar serta mereka yang tidak menganggotai atau menyertai mana-mana pertubuhan berdaftar atau program kementerian sebelum ini.

“Persatuan sukan juga banyak memohon dan itu kita sedang menilai selain kita turut mendengar input disampaikan pertubuhan belia begitu juga belia di kawasan luar bandar atau belia tidak berpersatuan itu adalah fokus keutamaan kita,” katanya.

Beliau turut menegaskan, aspek kebajikan atlet, termasuk mereka yang sudah bersara atau pernah berbakti kepada negara akan terus menjadi keutamaan menerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) di bawah KBS.

Sebagai rekod, berdasarkan takwim Dewan Rakyat, pembentangan Belanjawan 2027 dijadualkan pada 9 Oktober depan dan dijangka dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim. -BH Online