KUALA LUMPUR: Wanita perlu menjadi sebahagian daripada perancangan Malaysia menghadapi masyarakat menua berikutan golongan itu secara umumnya mempunyai jangka hayat lebih panjang berbanding lelaki.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata keperluan itu semakin penting apabila Malaysia dijangka mencapai status negara ‘super tua’ pada 2055, hanya 12 tahun selepas diunjurkan menjadi negara tua dengan kira-kira 15 peratus penduduk berusia 60 tahun ke atas.
Beliau berkata, peralihan demografi itu berlaku pada tahap pendapatan lebih rendah berbanding negara ‘Organisation for Economic Co-operation and Development’ (OECD), sekali gus menjadikan persediaan menghadapi masyarakat menua satu cabaran unik kepada Malaysia.
“Pada setiap peringkat usia, wanita mesti terus menjadi penyumbang aktif kepada keluarga, komuniti, ekonomi dan negara.
“Ekonomi perak yang mampan perlu mengiktiraf wanita sebagai pengguna, pekerja, usahawan, inovator dan pemimpin yang boleh membantu membentuk ekonomi untuk masyarakat yang mempunyai jangka hayat lebih panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Wanita Kebangsaan Ke-65 bertema ‘Penuaan Sihat dalam Ekonomi Perak yang Mampan’, di sini, semalam.
Majlis itu diserikan dengan keberangkatan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan biola oleh isteri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, yang mengiringi persembahan nyanyian lagu Permata dan Kuda Hitam.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, melalui ‘Malaysia Care Strategic Framework and Action Plan 2026-2030’ yang dilancarkan kementeriannya, kerajaan sedang berusaha membangunkan ekosistem penjagaan lebih terselaras.
Katanya, inisiatif berkenaan termasuk standard perkhidmatan lebih baik, tenaga kerja penjagaan lebih kukuh dan sokongan lebih besar kepada keluarga.
Dalam pada itu, Nancy berkata, peluang dalam ekonomi perak turut terbuka luas dalam sektor penjagaan kesihatan, perumahan, pengangkutan, perkhidmatan kewangan, teknologi, pembelajaran sepanjang hayat, pekerjaan dan keusahawanan.
“Peluang ini perlu bersifat inklusif supaya wanita bukan hanya menjadi pengguna, malah turut berperanan sebagai inovator, usahawan dan pemimpin dalam membentuk ekonomi berasaskan jangka hayat panjang,” katanya.
Sementara itu, Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Prof Emerita Tan Sri Datuk Seri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, berkata wanita perlu membuat persediaan sepanjang kehidupan bagi memastikan usia lanjut dilalui dalam keadaan sihat, terjamin dan mempunyai daya tahan kewangan.
“Perempuan kini hidup lebih lama dan kita perlu memastikan tahun-tahun tambahan dalam kehidupan mereka dilalui dengan sihat, terjamin, bermakna dan mempunyai daya tahan kewangan. Penuaan sihat memerlukan persediaan sepanjang perjalanan hidup.
“Dengan mengukuhkan literasi dan kesedaran kewangan wanita, kita dapat membantu mereka membuat pilihan yang tepat, melindungi diri daripada kemudaratan kewangan serta membina jaminan yang lebih kukuh untuk diri sendiri dan keluarga,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia perlu mengiktiraf ‘modal kebijaksanaan’ yang dikumpulkan golongan berusia sepanjang hayat mereka.
Katanya, pengetahuan, kemahiran dan pengalaman warga emas boleh dimanfaatkan bagi membantu menangani kekurangan tenaga mahir dalam bidang kritikal, selain membolehkan golongan itu terus menyumbang kepada masyarakat dan ekonomi.
“Golongan warga emas juga membuka ruang baharu untuk perniagaan dan pelaburan dalam ekonomi perak atau ekonomi umur panjang.
“Ia merangkumi pelbagai sektor seperti penjagaan kesihatan, terapeutik dan penjagaan diri, selain teknologi penuaan (AgeTech), perumahan mesra warga emas serta perkhidmatan pelancongan dan rekreasi untuk golongan dewasa berusia yang aktif,” katanya.-BH Online
