AMPANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong cadangan Lembaga Tabung Haji (TH) meletakkan bahagian pelaburan agensi itu di bawah pengawasan Suruhanjaya Sekuriti (SC) atau Bank Negara Malaysia (BNM).
Perdana Menteri berkata, tindakan sedemikian sesuai untuk dilaksanakan bagi mengelak salah guna kuasa atau unsur negatif lain berlaku dalam pengurusan TH.
Beliau yang juga Menteri Kewangan turut menyokong agenda reformasi TH lain dan memaklumkan sudah menerima taklimat berhubung perkara itu.
“Langkah ini diambil pengurusan baharu TH, diterajui Tan Sri Abdul Rashid Hussain. Ini bagi saya sesuai dan sudah dengar taklimat mereka, selain menyokong tindakan berkenaan.
“Ini termasuk cadangan pindaan Akta Tabung Haji 1995 supaya pengurusannya dikawal lebih ketat, sama ada oleh SC atau BNM dan tidak terlepas seperti yang berlaku sebelum ini,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata demikian pada sidang media selepas menunaikan solat Jumaat dan solat sunat jenazah di Masjid Bukit Indah dekat sini, hari ini. -BH Online
