KUALA LUMPUR: Malaysia dan Macau bersetuju memperkukuh kerjasama ekonomi dengan memberi tumpuan kepada perdagangan dan pelaburan, kewangan, sains dan teknologi, pendidikan serta industri konvensyen dan pameran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan yang semakin erat antara kedua-dua pihak berpotensi membuka lebih banyak peluang kepada syarikat Malaysia untuk menembusi pasaran Macau dan seterusnya ASEAN.
“Pertemuan ini memberi ruang untuk memperkukuh hubungan Malaysia dan Macau, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, kewangan, sains dan teknologi, pendidikan serta industri konvensyen dan pameran,” katanya menerusi perkongsian di laman Faecebooknya hari ini.
Anwar berkata demikian selepas menerima kunjungan Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Macau (SAR), Sam Hou Fai, dalam lawatan sulung beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan berkenaan pada Disember 2024.
Menurutnya, Malaysia turut menyambut baik pemeteraian beberapa perjanjian perniagaan antara syarikat Malaysia dan Macau yang berlangsung semalam.
Beliau berkata, kesepakatan berkenaan diharap dapat menjadi pemacu kepada kerjasama ekonomi yang lebih erat, luas dan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
“Saya juga menyambut baik pemeteraian beberapa perjanjian perniagaan antara syarikat Malaysia dan Macau semalam, dan berharap kesepakatan ini akan menjadi pemacu kepada kerjasama ekonomi yang lebih erat dan luas antara kedua-dua pihak,” jelasnya.
Anwar berkata, kedudukan strategik Macau dan Hengqin yang mempunyai hubungan dengan Greater Bay Area mampu dimanfaatkan bagi mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan kepada syarikat tempatan.
Katanya, kedudukan itu turut membolehkan Malaysia memperkukuh peranannya sebagai pintu masuk kepada perniagaan Macau yang mahu meneroka pasaran ASEAN.
“Saya percaya kedudukan strategik Macau dan Hengqin yang terhubung dengan Greater Bay Area dapat dimanfaatkan untuk membuka lebih banyak peluang kepada syarikat Malaysia, sekali gus memperkukuh peranan negara sebagai gerbang kepada perniagaan Macau untuk meneroka pasaran ASEAN,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anwar menjelaskan, perbincangan turut menyentuh usaha memperluas hubungan rakyat antara Malaysia dan Macau, terutama melalui bidang pendidikan dan pelancongan.
Beliau berkata, terdapat potensi untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor pelancongan halal dan mesra Muslim, khususnya bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Di samping itu, kami menyentuh usaha memperluas hubungan rakyat menerusi pendidikan dan pelancongan, termasuk potensi kerjasama dalam sektor pelancongan halal dan mesra Muslim bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Anwar berkata, Malaysia bersedia menterjemahkan hubungan yang semakin kukuh itu kepada kerjasama yang praktikal, bermakna dan saling menguntungkan, selaras dengan semangat Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China.
