Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Lapan individu dan organisasi menerima Anugerah Merdeka 2026 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan luar biasa dan berterusan mereka dalam memajukan negara serta meningkatkan kehidupan rakyat Malaysia.

Anugerah itu disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, selaku Penaung Diraja dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka dalam satu majlis di ibu negara hari ini.

Antara penerima utama ialah legenda skuasy negara, Datuk Nicol Ann David, yang menerima anugerah bagi kategori Sumbangan Cemerlang kepada Kemanusiaan, Seni dan Sukan atas kejayaannya mengangkat kedudukan Malaysia dalam skuasy dunia selain memberi inspirasi kepada generasi akan datang menerusi pemerkasaan belia.

Nicol menyifatkan pengiktirafan itu sebagai antara detik paling membanggakan dalam hidupnya kerana ia bukan sahaja menghargai pencapaiannya dalam sukan, malah peranannya membawa nama Malaysia ke pentas dunia.

“Hari ini, saya boleh katakan bahawa ini adalah antara detik paling membanggakan dalam hidup saya, menerima Anugerah Merdeka dalam kategori Sumbangan Cemerlang kepada Kemanusiaan, Seni dan Sukan atas sumbangan saya kepada Malaysia.

“Pengiktirafan ini amat bermakna kepada saya kerana ia bukan sahaja menghargai pencapaian saya dalam sukan, tetapi juga peranan saya membawa nama Malaysia di pentas dunia dan diharapkan dapat memberi inspirasi kepada generasi akan datang untuk percaya bahawa mereka juga boleh bermimpi melangkaui apa yang mereka fikirkan mungkin,” katanya.

Selepas menamatkan kerjaya profesionalnya, Nicol kini memberi tumpuan kepada usaha memperkasa kanak-kanak dan komuniti menerusi Nicol David Organisation, khususnya melalui sukan, pendidikan dan kesihatan mental.

Menurut beliau, organisasi itu yang kini memasuki tahun keempat telah memberi manfaat kepada lebih 2,700 peserta menerusi empat program komuniti di tiga negeri.

Beliau berkata pengalaman dan nilai yang dibentuk sepanjang bergelar atlet kini mahu digunakan untuk membuka lebih banyak peluang kepada generasi seterusnya.

“Kerjaya sukan saya mungkin telah memberikan saya satu platform, tetapi tujuan saya sekarang adalah untuk menggunakan platform itu bagi membina masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang.

“Saya mahu terus membina legasi saya bukan sahaja sebagai seorang atlet, tetapi sebagai pembina negara. Terima kasih Malaysia kerana mempercayai saya. Terima kasih kerana memberi saya peluang untuk bermimpi.

“Ini bukan pengakhiran perjalanan saya, ia hanyalah permulaan kepada perjalanan yang baharu.”

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, berkata pengiktirafan berkenaan turut bertujuan memastikan pengalaman serta perjalanan penerima menjadi inspirasi kepada generasi Malaysia seterusnya.

“Lembaga Pemegang Amanah percaya bahawa pengalaman hidup para perintis ini perlu menjadi inspirasi kepada generasi rakyat Malaysia yang akan datang, dan juga menjadi bukti bahawa dalam diri kita semua terdapat potensi dan keupayaan untuk membawa perubahan,” katanya.

Beliau berkata Anugerah Merdeka selama lebih dua dekad mengangkat semangat individu yang berani meneroka kemungkinan baharu, mengatasi cabaran serta mempunyai komitmen terhadap tujuan yang lebih besar dan kebaikan bersama.

Penerima lain bagi Anugerah Merdeka 2026 ialah MERCY Malaysia bagi kategori Sumbangan Cemerlang kepada Pendidikan dan Komuniti serta Profesor Dr Chan Eng Heng bagi kategori Sumbangan Cemerlang kepada Alam Sekitar dan Kesihatan.

Bagi kategori Sumbangan Cemerlang kepada Sains, Teknologi dan Inovasi, Akademisian Emeritus Profesor Datin Paduka Setia Datuk Dr Aini Ideris dan Akademisian Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismail diumumkan sebagai penerima bersama.

Emeritus Profesor Datuk Dr Asmah Haji Omar pula menerima anugerah bagi kategori Pencapaian Cemerlang Ilmiah dan Akademik, manakala Akademisian Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr Omar Abdul Rahman menerima Anugerah Khas Merdeka.

Jaguh para badminton negara, Cheah Liek Hou, menerima Anugerah Harapan Merdeka atas pencapaiannya mengangkat kedudukan Malaysia dalam para badminton dunia serta memberi inspirasi kepada golongan orang kurang upaya menerusi kecemerlangan sukan.

Dengan pengiktirafan tahun ini, Anugerah Merdeka telah meraikan 78 individu dan organisasi sejak penganjuran sulungnya pada 2008.

Anugerah Merdeka Trust ditubuhkan PETRONAS dan Shell pada 27 Ogos 2007 bagi memupuk budaya kecemerlangan menerusi pengiktirafan kepada individu dan organisasi yang memberi sumbangan signifikan kepada Malaysia serta menjadi inspirasi kepada generasi akan datang. -Astro Awani