KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggantung serta-merta syarat mewajibkan orang yang disiasatnya memakai pakaian seragam oren milik agensi itu ketika dibawa ke mahkamah untuk prosiding reman.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata keputusan itu dibuat susulan perkembangan terkini dan syor semasa berhubung prosedur pengendalian orang yang disiasat, terutamanya apabila mereka dibawa ke mahkamah.
“Orang yang disiasat akan dibenarkan memakai pakaian sendiri apabila dibawa ke mahkamah, manakala pakaian lokap hanya akan dipakai sepanjang tempoh mereka ditahan di dalam lokap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abd Halim berkata, penggunaan gari pula tertakluk kepada keadaan bagi setiap kes.
Beliau berkata, pengecualian akan diberi kepada mereka yang uzur, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak dan warga emas.
“Bagaimanapun, SPRM akan terus mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan kawalan keselamatan yang bersesuaian dilaksanakan sepanjang pengendalian orang yang disiasat,” katanya.
Beliau berkata, SPRM kekal komited untuk memastikan suspek dikendalikan secara profesional, berintegriti, berhemah dan mematuhi undang-undang serta prosedur yang ditetapkan. -BH Online
