KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan (KKM) akan melancarkan projek rintis penghantaran ubat ke kawasan pedalaman Sabah menggunakan dron pada suku keempat tahun ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Projek Rintis Penghantaran Ubat Menerusi Dron itu akan dilakukan di Tawau.
“Projek ini akan membantu menyampaikan bekalan ubat-ubatan kritikal ke kawasan terpencil secara lebih pantas,” katanya berucap dalam program Bual Bicara Bersama Menteri Kesihatan di Wisma Wanita, hari ini.
Dalam aspek pendigitalan pula, Dzulkefly berkata, sistem Cloud-Based Clinic Management System (CCMS) kini diperluaskan ke 36 Klinik Kesihatan di Sabah.
Katanya, 81 peratus pesakit kini disaring dan dirawat dalam tempoh kurang sejam, manakala 63 peratus menikmati masa menunggu kurang 30 minit.
“Sebanyak 44 klinik pergigian primer di seluruh Sabah kini menggunakan rekod pergigian digital (Dental Information System) sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata kerajaan menyasarkan keseluruhan ekosistem kesihatan negara termasuk klinik desa, klinik kesihatan, hospital daerah dan sektor swasta didigitalkan sepenuhnya menjelang 2030 menerusi visi “Satu Individu, Satu Rekod.”
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata kementerian merancang melaksanakan pembangunan semula dan naik taraf 46 klinik daif di Sabah secara berfasa tahun ini.
Katanya langkah itu adalah bagi meneruskan usaha kerajaan memperkukuh infrastruktur kesihatan terutama di kawasan pedalaman dan terpencil di negeri ini.
“Bagi tempoh 2023 hingga 2025, melalui inisiatif Bitara MADANI, KKM sudah menyempurnakan pembangunan semula dan naik taraf 132 klinik daif di Sabah dengan peruntukan RM75.5 juta.
“Bagi 2026, kita sedang merancang pelaksanaan baki 46 klinik daif secara berfasa,” katanya.
Dzulkefly berkata, bangunan kayu yang usang dan tidak selamat sebelum ini sudah ditukar kepada fasiliti konkrit yang lebih moden dan selamat, antaranya Klinik Kesihatan Kemabong, Klinik Kesihatan Sook dan Klinik Desa Takuli.
Katanya, cabaran utama penyampaian perkhidmatan kesihatan di Sabah bukan sekadar berkaitan angka, sebaliknya turut membabitkan faktor geografi dan logistik.
“Saya sendiri sudah turun padang melawat fasiliti KKM di pesisir pantai, kawasan pedalaman dan pulau di Sabah dalam beberapa siri lawatan lalu untuk melihat sendiri bagaimana petugas dan pesakit kita bertarung dengan ombak laut serta merentasi jalan balak berjam-jam demi mendapatkan rawatan asas,” katanya.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, kerajaan menyediakan peruntukan RM1.56 bilion menerusi perancangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi 53 projek pembangunan kesihatan di seluruh Sabah.
Daripada jumlah itu, katanya, 32 projek membabitkan pembinaan hospital dan klinik, termasuk Pusat Jantung Sabah, Klinik Kesihatan Sapulut, Nabawan dan blok baharu Hospital Tawau, manakala 21 lagi projek bukan fizikal membabitkan pendigitalan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta perolehan peralatan perubatan.
Beliau berkata, kerajaan turut menetapkan unjuran peningkatan peruntukan kesihatan Sabah sebanyak lima peratus setahun, dengan peruntukan kesihatan negeri dijangka mencecah RM4 bilion menjelang 2030.
Dzulkefly berkata, KKM turut mengambil pendekatan mempercepatkan kelulusan peruntukan bagi keperluan mendesak di hospital daerah menerusi lawatan kerja yang dilakukannya ke beberapa fasiliti kesihatan di Sabah.
“Sebagai contoh, dalam siri lawatan baru-baru ini, saya meluluskan peruntukan serta-merta berjumlah RM4.3 juta, merangkumi RM988,000 untuk Hospital Tambunan, RM1.279 juta untuk Hospital Ranau berserta empat ambulans baharu serta RM2.01 juta bagi menaik taraf Unit Pesakit Luar Hospital Kota Belud,” katanya.-BH Online

