Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUANTAN: Kerajaan Pahang optimis mampu mengutip hasil melebihi RM1 bilion buat kali kelima berturut-turut selepas mengutip hasil RM950 juta setakat ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pencapaian itu memberikan ruang untuk terus membangunkan infrastruktur, memperkukuh kemudahan awam serta memperluas manfaat pembangunan kepada rakyat.

“Tetapi kita tidak boleh berhenti di sini. Kita mesti terus bergerak dan membuka lebih banyak ruang pertumbuhan. Alhamdulillah, hasil negeri Pahang juga melepasi RM1 bilion selama empat tahun berturut-turut sejak 2022. 

“Insya-Allah, saya berkeyakinan, tahun ini kita sekali lagi mampu mencapai kutipan hasil melebihi RM1 bilion untuk tahun kelima berturut-turut berdasarkan kutipan hasil semasa iaitu RM950 juta setakat ini,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian ketika ditemui media selepas melancarkan YP Commercial Centre (YPCC) di Tanjung Lumpur, di sini hari ini.

Mengulas pelancaran YPCC, beliau berkata, melalui anak syarikat milik penuh Yayasan Pahang, YP Land Sdn Bhd, YPCC merangkumi tiga pusat komersial di lokasi strategik sekitar Kuantan iaitu YPCC Tanjung Lumpur, YPCC Bandar Indera Mahkota dan YPCC Kuantan.

“Bagi saya, YPCC bukan sekadar deretan premis atau projek hartanah. Ia adalah usaha membina ekosistem perniagaan.

“Di Tanjung Lumpur, pembangunan ini meliputi kawasan seluas 24.8 ekar (lebih 10 hektar) dengan kawasan boleh disewa sebanyak 232,889 kaki persegi.

“Ia menggabungkan tiga komponen utama, iaitu Zon Komersial, Zon Automotif dan RIMBUN (pelbagai segmen perniagaan) yang merangkumi peruncitan, automotif, makanan dan minuman, perkhidmatan serta gaya hidup,” katanya. -BH Online