ARAU: Anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) yang masih aktif akan diberikan pengecualian menduduki ujian tertentu dalam proses pemilihan menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui latihan Pegawai Kadet Graduan mulai tahun ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pada masa sama sekiranya mereka diserap sebagai anggota tetap dalam ATM, tempoh perkhidmatan dan pangkat semasa akan diambil kira mengikut syarat ditetapkan.
Katanya pengecualian itu selaras dengan Perintah Majlis Angkatan Tentera Siri 9/2025 membabitkan empat ujian.
“Mulai tahun ini, calon PALAPES yang masih aktif akan diberikan pengecualian daripada menduduki beberapa ujian tertentu ketika proses pemilihan.
“Pengecualian ini selaras dengan Perintah Majlis Angkatan Tentera Siri 9/2025. Ini termasuk Ujian Pengetahuan Am, Ujian Kecerdasan Akal, Ujian Kepimpinan dan Merancang serta Ujian Pengucapan Awam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Ucaptama Sesi Syarahan Eksekutif bersama Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, langkah itu antara beberapa inisiatif dilaksanakan Kementerian Pertahanan bagi memperluas peluang pegawai kadet PALAPES meneruskan kerjaya dalam ATM.
Beliau berkata kementerian turut menjalankan kajian bagi menambah baik bayaran insentif kepada pegawai kadet PALAPES termasuk elaun kehadiran latihan tempatan, bounti tahunan dan pemberian pakar.
“Pegawai lepasan PALAPES juga boleh memohon Pertugasan Sepenuh Masa bagi mengisi perjawatan tertentu di unit, kapal, pangkalan dan formasi ATM.
Beliau berkata, kementerian turut mencadangkan pindaan perundangan bagi membolehkan pegawai lepasan PALAPES yang tamat tempoh perkhidmatan tetapi masih berminat kembali berkhidmat dalam Angkatan Sukarela dan mereka tidak perlu ditauliahkan semula.
Katanya, cadangan pindaan ini kini sedang menunggu kelulusan.
“Sekiranya diluluskan, pegawai berkenaan hanya perlu melalui proses melanjutkan tempoh tauliah selaras dengan Akta Angkatan Tentera 1972,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, ATM turut meneliti cadangan untuk memberi peluang kepada Pegawai Kadet PALAPES menjalani latihan industri di unit dan pasukan Angkatan Tetap (ATM) bagi memberi pendedahan kepada persekitaran tugas sebenar pasukan.
Katanya, laluan pembangunan kerjaya dalam Angkatan Sukarela juga sedang diperkemas melalui penyesuaian tempoh kursus dan pembangunan Professional Military Education yang selari dengan Angkatan Masa Hadapan. -BH Online

