KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang menggubal Rang Undang-undang (RUU) Koroner selepas mengambil kira beberapa kes kematian di negara ini, sekali gus mengembalikan keyakinan terhadap proses keadilan.
Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata kajian pendapat awam mengenai RUU Koroner diadakan bagi tujuan itu.
Pelaksanaan kajian itu, katanya, selari hasrat kerajaan untuk menggubal undang-undang dengan mendengar pandangan dan mendapatkan input daripada agensi kerajaan, pengamal undang-undang, pakar akademik, pertubuhan masyarakat sivil dan rakyat.
Beliau berkata, kajian itu akan meneliti beberapa aspek, antaranya kategori kematian wajib dilaporkan, bidang kuasa dan kebebasan koroner dan tatacara seragam.
Katanya, parameter dasar bagi cadangan RUU itu bagaimanapun masih belum dimuktamadkan.
“Negara sememangnya mempunyai kerangka pelaksanaan inkues seperti diperuntukkan di bawah Kanun Tatacara Jenayah, terutama Seksyen 328 hingga 341A, serta Arahan Amalan Bilangan 2 Tahun 2019.
“Namun, kita sedia maklum realiti keadaan masa kini menjadi semakin kompleks. Siasatan kematian kini membabitkan bukti digital, analisis forensik, rekod perubatan, keselamatan institusi serta penyelarasan pelbagai agensi.
“Siasatan bukan hanya soal prosedur semata-mata, tetapi menyentuh maruah manusia, hak keluarga mengetahui kebenaran dan tanggungjawab negara memastikan setiap kematian menimbulkan persoalan, disiasat dengan menyeluruh dan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Tinjauan Pendapat Awam mengenai Penggubalan RUU Koroner di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Zamri Misman dan Timbalannya, Datuk G Thiyagu serta Pakar Patologi Forensik Hospital Sultan Idris Shah, Dr Khairul Anuar Zainun.
Azalina berkata, RUU Koroner mempunyai tiga matlamat utama iaitu mewujudkan kerangka undang-undang jelas dan menyeluruh, membentuk sistem koroner lebih tersusun, bebas dan telus serta memperjelas tanggungjawab setiap pihak apabila sesuatu kematian dilaporkan.
“Kita juga mahu sistem yang bukan sahaja menentukan punca kematian, tetapi mampu mengenal pasti kelemahan bagi mencegah tragedi sama berulang.
“Jika sesuatu kematian mendedahkan kelemahan dalam sistem, dapatan koroner tidak seharusnya berhenti di dalam fail kerana pengajaran diperoleh daripada sesuatu kes seharusnya dapat membantu kita melindungi nyawa yang lain,” katanya.
Sementara itu, Azalina berkata, itu, kerajaan sedang meneliti cadangan penubuhan Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang sebagai mekanisme tetap, khusus dan berstruktur.
Katanya, ia bertujuan mengkaji undang-undang negara serta mengemukakan syor pembaharuan secara sistematik, berterusan, bebas dan berasaskan bukti.
“Reformasi undang-undang tidak seharusnya bersifat ‘ad hoc’ atau hanya digerakkan apabila timbul sesuatu krisis.
“Sebaliknya, ia perlu dilaksanakan secara terancang supaya kerangka perundangan negara sentiasa relevan dan responsif terhadap keperluan semasa masyarakat,” katanya.
Azlina menjangkakan RUU Koroner boleh dibentangkan di Dewan Rakyat menjelang tahun hadapan.
“Saya harap RUU ini akan menetapkan prosedur operasi standard tertentu dan menjawab persoalan dibangkitkan. Kita tak mahu bila ada kematian, keluarga mencari-cari jawapan,” katanya.-BH Online
