Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam menolak permohonan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk penzahiran dokumen dalam saman fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dr Mahathir mahu Anwar mengemukakan dokumen mengenai dakwaan Konsortium Perkapalan Bhd (KPB) diselamatkan (bailout) oleh PETRONAS dan Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) pada 1997.

Beliau turut mahu memperoleh dokumen berkaitan pemberian kontrak kepada Opcom Cables Sdn Bhd oleh Telekom Malaysia Bhd pada 2003 dan lesen fabrikasi oleh PETRONAS kepada Kencana Petroleum Bhd pada 2002.

Bekas perdana menteri itu juga meminta Anwar mengemukakan laporan berkaitan dengan permintaan Perwaja Steel Bhd untuk mendapatkan dana kerajaan pada 1998, serta dokumen berkaitan dengan yuran guaman dibayar kepada dua firma, iaitu Lewis & Co dan VK Lingam & Co.
Rafique Rashid Ali yang mewakili Dr Mahathir selaku peguam berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Zaharah Hussain menolak permohonan itu atas alasan peristiwa dipetik oleh Anwar dalam pernyataan pembelaannya itu berlaku beberapa tahun lepas dan tidak direkodkan dalam mana-mana dokumen.

“Jika ada sebarang dokumen, ia akan menjadi sebahagian daripada pembelaan defendan (Anwar), dan beliau perlu mengemukakannya semasa pengurusan kes pra-perbicaraan nanti,” katanya dipetik FMT, hari ini.

Justeru, Mahkamah menetapkan 3 November untuk pengurusan kes.

Dr Mahathir menyaman Anwar atas kenyataan dibuat presiden PKR itu ketika kongres partinya pada 18 Mac, menggelar Mahathir sebagai rasis dan mengatakan beliau mengayakan keluarganya ketika memegang jawatan.

Dalam tuntutan mahkamahnya, Mahathir mendakwa, kenyataan itu dibuat oleh Anwar atas kapasitinya sebagai perdana menteri, justeru memberikan impak jauh lebih dahsyat terhadapnya berbanding kenyataan serupa dibuat oleh rakyat biasa.

Beliau berkata, dakwaan itu merosakkan statusnya sebagai negarawan dan bekas perdana menteri.

Mahathir mahu Anwar menarik balik semua kenyataan berunsur fitnah yang dibuat terhadapnya dan disiarkan di media arus perdana serta media sosial.

Katanya, kenyataan Anwar yang didakwa berunsur fitnah itu bertujuan merosakkan nama baiknya di mata rakyat kerana kenyataan tersebut dilihat dan didengar oleh ramai orang.

Beliau juga mahu Anwar memohon maaf tanpa syarat dan berjanji untuk tidak mengulangi kenyataan yang sama atau serupa pada masa akan datang.- Media Perpaduan