KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memperluas peluang peningkatan kemahiran kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan tiada golongan belia tercicir daripada perkembangan teknologi itu.
Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari, berkata usaha itu akan dilaksanakan menerusi ekosistem pembangunan belia sedia ada dan kerjasama strategik dengan kementerian, agensi, institusi pendidikan, industri serta komuniti.
“Dengan perkembangan teknologi AI yang begitu pesat, kita perlu memastikan tidak wujud jurang antara golongan belia yang mempunyai akses dan kemahiran AI dengan mereka yang tercicir daripada arus perubahan ini.
“Peluang menguasai teknologi perlu tersedia kepada semua anak muda tanpa mengira latar belakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Mohammed Taufiq berkata, KBS menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 berhubung usaha memperluas akses teknologi AI kepada golongan belia.
Program AI untuk Rakyat terbuka kepada anak muda berusia antara 18 hingga 30 tahun dengan sasaran awal penyertaan sebanyak 100,000 belia.
Peserta yang melengkapkan modul pembelajaran AI menerusi platform Rakyat Digital akan menerima langganan aplikasi AI terkemuka secara percuma selama tiga bulan bermula esok.
Dr Mohammed Taufiq berkata, inisiatif itu adalah pelaburan strategik negara untuk membina generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing dalam menghadapi perubahan landskap ekonomi serta dunia pekerjaan.
“Anak muda Malaysia tidak seharusnya sekadar menjadi pengguna teknologi, malah perlu diperkasakan untuk menjadi pencipta dan peneraju teknologi.
“Penguasaan AI perlu diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti, penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, keusahawanan dan penyelesaian inovatif kepada cabaran yang dihadapi masyarakat serta negara,” katanya.
Beliau turut menggalakkan golongan belia meneroka dan menguasai AI secara produktif serta bertanggungjawab dengan mengambil kira keselamatan, privasi dan integriti maklumat. – BERNAMA
