SERDANG: Seramai 1,008,158 pengunjung direkodkan sepanjang tiga hari pertama Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026, dari 28 hingga 30 Ogos lalu, dengan jumlah kenderaan keluar masuk mencecah 185,000.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata peningkatan kehadiran itu menyebabkan aliran trafik di sekitar MAHA agak sibuk, namun pihak pengurusan mengambil langkah penambahbaikan bagi memastikan pergerakan pengunjung lebih lancar.
Beliau berkata, antara langkah terbaru ialah menambah enam bas pengangkutan, selain memperkemas kawalan lalu lintas termasuk tindakan menunda kenderaan yang diletakkan di bahu jalan dan menghalang laluan bas.
“Ya, ada rungutan dan jawatankuasa bermesyuarat setiap malam bermula jam 8 malam untuk mengkaji apa yang dirungut dan sebagainya.
“Kita sudah tambah perkhidmatan pengangkutan, enam bas lagi. Tadi saya lalu depan Pavilion Negeri-Negeri, saya tengok beratur begitu panjang.
“Kita sudah beritahu pihak pengurusan supaya mencari jalan untuk mengangkut mereka dengan segera sebab cuaca panas sekarang ini,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Laman Padi dan Pengiktirafan The Malaysia Book of Records, di sini, hari ini.
Mohamad berkata, setiap aduan yang diterima akan diberi perhatian menerusi sesi post-mortem yang diadakan setiap malam sepanjang MAHA berlangsung.
Sementara itu, beliau berkata jumlah jualan sepanjang tiga hari pertama MAHA hampir RM6 juta, daripada sasaran keseluruhan sekurang-kurangnya RM58 juta.
Katanya, nilai jualan dijangka terus meningkat menjelang penghujung penganjuran, khususnya membabitkan pembelian benih tumbuhan dan produk berkaitan pertanian.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata sambutan malam ambang Merdeka di MAHA semalam turut mendapat reaksi positif, khususnya persembahan bunga api dan pertunjukan dron yang berlangsung dari jam 11.40 malam hingga tengah malam.
Mengenai isu penutupan sementara Dewan A, Mohamad berkata ruang berkenaan hanya ditutup kira-kira dua jam sebagai langkah keselamatan susulan gangguan elektrik sebelum dibuka semula selepas disahkan selamat.
“Dewan itu ditutup sekejap dalam beberapa jam dan perkara itu juga dibincangkan dalam mesyuarat. Berlaku gangguan elektrik seketika, namun pihak TNB memaklumkan ia tidak membawa sebarang bahaya,” katanya. -BH Online

