KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Nepal bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan bencana banjir dahsyat yang melanda negara itu pada Rabu lalu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Kementerian Luar dipertanggungjawabkan menyelaras dengan Kerajaan Nepal bagi membolehkan pasukan itu digerakkan secepat mungkin.
Selain membantu operasi SAR, Perdana Menteri berkata, pasukan SMART turut diamanahkan untuk mengesan dan membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana berkenaan.
“Pasukan SMART turut diamanahkan untuk mengesan serta membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas, selain membantu Kedutaan Besar Malaysia di Nepal untuk menyelaras bantuan dan memastikan keselamatan serta kebajikan mereka.
“Malaysia juga akan menyalurkan sumbangan sebanyak AS$1 juta (kira-kira RM4.03 juta) kepada Nepal bagi membantu mangsa yang terjejas serta menyokong usaha pemulihan pascabencana,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Kementerian Luar memaklumkan bahawa seramai 72 rakyat Malaysia yang terkandas di Tibet, China, akibat gangguan perjalanan susulan banjir dan tanah runtuh di Nepal, disahkan berada dalam keadaan selamat serta sihat.
Wisma Putra dilaporkan berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Beijing sedang berhubung dengan mereka yang kini berada di Darchen, dan ahli keluarga turut mengetahui keadaan mereka.
Selain itu, seramai 55 rakyat Malaysia di Nepal dilaporkan masih belum dapat dihubungi, manakala dua rakyat yang sebelum ini gagal dihubungi pula kini berjaya dihubungi.
Kementerian itu berkata, pengesahan mengenai mereka yang masih belum dapat dihubungi sedang diteruskan.
Sebelum ini, Kerajaan Nepal dilapor mengeluarkan senarai nama 537 warga asing dari lebih 30 negara yang dilaporkan hilang susulan kejadian banjir kilat besar di daerah Rasuwa.
Senarai itu turut membabitkan 51 rakyat Malaysia yang diuruskan agensi pelancongan Leaf Holiday, Fishtail, Dream Tibet Travel and Tour, serta Kailash Journeys, sebagai individu belum dapat dikesan.
The Kathmandu Post sebelum ini melaporkan banjir kilat dahsyat yang melanda kawasan sempadan utara Nepal, Rabu lalu, memusnahkan kawasan penempatan di sepanjang Sungai Bhotekoshi di Rasuwa, selain membawa limpahan air dan serpihan ke bahagian hilir.
Banjir berkenaan turut merosakkan jalan raya, jambatan, bangunan dan infrastruktur lain sebelum mengalir ke dalam sistem Sungai Trishuli, sekali gus menghanyutkan penduduk, kenderaan serta struktur bangunan, selain memutuskan hubungan di sesetengah kawasan terjejas.
Akhbar itu turut melaporkan mayat dan bahagian rangka manusia dijumpai di daerah yang terletak jauh di bahagian hilir Rasuwa, manakala pihak berkuasa berdepan kesukaran untuk mengenal pasti identiti mangsa serta menyediakan kemudahan penyimpanan mayat yang mencukupi berikutan kapasiti rumah mayat di beberapa kawasan semakin kritikal. -BH Online

